Seramai 500 tetamu termasuk 60 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Hatiku dan Rumah Pendidikan dan Kebajikan Al-Firdaus dan 40 orang ibu tunggal dari Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS) dan Pertubuhan Negarawati Tanahair (NEGARAWATI) diraikan pada Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, golongan penggiat seni dan pengamal media turut mendapat perhatian kedua-dua yayasan dengan memberikan sumbangan kepada mereka yang dikenal pasti dan memerlukan bantuan.

Kerjasama strategik

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Aizuddin Ghazali menzahirkan perasaan bersyukur dan sangat berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan oleh Yayasan Nurjiwa kepada Yayasan Prihatin Nasional untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam menjayakan majlis iftar ini seterusnya berkolaborasi dalam pelbagai program kebajikan pada masa hadapan.



“Berkerjasama dengan yayasan milik penyanyi tersohor negara merupakan satu penghormatan besar buat PRIHATIN.

“Kemuliaan dan kemurahan hati Datuk Seri Siti Nurhaliza ini patut dijadikan contoh kepada semua pihak dan juga badan bukan kerajaan lain dalam mempergiatkan lagi usaha membantu golongan yang memerlukan terutama pada bulan Ramadan yang berkat ini,” katanya sambal memberitahu yang gabungan dua yayasan berkenaan telah membuka lembara baharu dalam menerajui dunia kebajikan supaya lebih ramai lagi golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Selain anak-anak yatim dan ibu tunggal, penggiat dan pengamal media yang memerlukan turut menerima sumbangan pada malam tersebut.

Sumbangan berkenaan sebagai tanda penghargaan buat kelompok yang telah bekerja keras dalam kerjaya mereka dan menjadi penghubung dalam bidang seni serta maklumat kepada masyarakat.

Sambut baik

Sementara itu, pengerusi dan pengasas bersama Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut baik kerjasama dengan pihak Yayasan Prihatin Nasional yang mempunyai pengalaman luas sebagai sebuah badan bukan kerajaan.

Siti berkata, usaha membantu dan menyantuni anak-anak yatim, ibu tunggal, penggiat seni dan penggamal media ini akan terus menjadi teras utama dalam objektif penubuhan dan fokus bantuan amal Yayasan Nurjiwa.



Tambah Siti, Yayasan Nurjiwa juga menyeru lebih ramai lagi masyarakat akan dapat bersama-sama dengan badan amal yang menjadi medium menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Selama 17 tahun penubuhan Yayasan Nurjiwa, Siti juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat membantu dan memberi semula kepada masyarakat.

Kolaborasi terdahulu

Ini bukanlah kerjasama kali pertama Yayasan Prihatin dan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyantuni golongan kurang berkemampuan kerana Datuk Seri Siti Nurhaliza telah dinobatkan sebagai Ikon bagi Program Townhall Ikon Nasional yang di anjurkan oleh PRIHATIN pada tahun 2023. Selain itu, penganjuran Konsert Hitman: David Foster And Friends Asia 2023 anjuran PRIHATIN adalah kolaborasi berskala antarabangsa yang turut melibatkan kerjasama dari Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam mengumpul dana Tabung Kasih Prihatin.



Kolaborasi antara Yayasan Prihatin Nasional dan Yayasan Nurjiwa pasti memberi impak yang luar biasa untuk terus membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama di seluruh pelusuk tanah air dan antarabangsa.

Sumbangan yang disampaikan kepada semua penerima adalah dalam bentuk wang tunai, pakaian dan kotak makanan bagi keperluan bulan Ramadan dan sambutan hari raya Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan Kotak Makanan, Edaran Bubur Lambuk, Bantuan Khas Gaza… Ini Antara Inisiatif Yayasan Nurjiwa Menerusi Kempen Infaq Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: Yayasan Nurjiwa Beri Sumbangan Kepada Ross Ariffin - "Walaupun Tak Dapat Bertemu..."