Sekilas
- Dua lelaki cedera di kepala selepas diserang sekumpulan individu yang didakwa jurugambar haram di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada malam Ahad.
- Kejadian berlaku ketika pergaduhan antara jurugambar haram dan pelancong asing, dan dua peniaga air balang yang cuba meleraikan pergaduhan turut diserang.
- Laporan polis telah dibuat dan isu jurugambar haram di KLCC dikatakan sudah lama menjadi rungutan orang ramai, dengan harapan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan di kepala selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu yang didakwa sebagai jurugambar haram dalam satu kejadian di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada malam Ahad.
Kejadian tersebut dikongsikan oleh pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh, menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurutnya, insiden itu berlaku apabila sekumpulan individu yang didakwa menjalankan aktiviti fotografi secara haram bertindak agresif sehingga mencetuskan pergaduhan dengan pelancong asing di kawasan tumpuan pelancong itu.
“Pecah kepala member kena pukul dengan senjata, tak pasti senjata apa dekat KLCC.
“Geng dia ramai, berpuluh orang. Masa itu dia bergaduh dengan pelancong asing sampai tahap pukul pelancong,” katanya.
Tambahnya, dua mangsa yang juga peniaga air balang berada di lokasi kejadian dan cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
Namun, tindakan itu bertukar menjadi malang apabila mereka turut diserang secara beramai-ramai oleh kumpulan terbabit.
“Member yang jual air balang kebetulan ada situ pergi nak leraikan pergaduhan itu. Sekali geng photographer haram datang pukul beramai-ramai.
“Dua orang pecah kepala. Seorang kena tujuh jahitan dan seorang lagi dua jahitan. Pukul curi dari belakang, dia mai sapu. Balang air dia pun kena pecahkan,” ujarnya.
Mohd Fadli turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Fadli mendakwa isu kehadiran jurugambar haram di sekitar KLCC bukan perkara baharu, malah sering menjadi rungutan orang ramai.
“Isu photographer haram di KLCC ini sudah lama orang buat aduan dan rungutan.
“Kebal betul geng ini masih boleh buat kerja, siap ugut dan pukul orang lagi.
“Punca pelancong akan pandang serong pada Malaysia. Harap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis lebih tegas banteras geng ini. Rosak imej negara,” katanya.