Sekilas
- Shaheizy Sam kembali membawa watak antagonis selepas 15 tahun menerusi filem Chelot, selepas lebih banyak berlakon sebagai hero dan watak komedi sebelum ini.
- Sam mengakui cabaran utama adalah menjayakan watak jahat yang lebih manusiawi dan tidak stereotaip, berbeza daripada watak penjahat dalam filem popular lain.
- Filem Chelot arahan Adrian Teh akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Ogos 2026, turut dibintangi Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar dan Alicia Amin.
Selepas kira-kira 15 tahun tidak membawakan watak antagonis, pelakon Shaheizy Sam tidak menyangka bakal kembali menjayakan karakter berkenaan menerusi filem Chelot.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, berkata peluang untuk membawakan watak jahat agak terbatas sebelum ini apabila dia lebih banyak menerima tawaran sebagai hero selain karakter komedi.
“Lama tak dapat tawaran watak penjahat. Lepas filem Bohsia dan KL Drift 2, saya banyak dapat tawaran filem seperti Adnan Sempit dan Polis Evo. Jadi memang tak dapat peluang itu.
“Apabila ditawarkan kali ini, memang seronok sebab bila bawa watak jahat ini, tanggungjawab dia tidak sebesar kalau saya bawa watak utama.
“Watak utama kena ambil tanggungjawab ceritakan keseluruhan filem. Tapi kalau watak jahat, dia cuma perlu pastikan watak itu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
“Jadi rasa ringan sikitlah. Saya bersedia untuk teroka lebih banyak karakter jahat sebab kejahatan manusia ini ada pelbagai jenis,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam filem arahan Adrian Teh itu, Sam mengakui pada awalnya dia berada dalam dilema kerana perlu memberi tumpuan kepada projek lain.
“Mula-mula itu 50/50 sebab nak fokus filem lain. Tapi bila filem itu ditangguhkan, saya hubungi Adrian balik. Bila dengar jalan cerita, saya rasa sangat menarik,” katanya.
Menurut Sam, cabaran utama menjayakan watak antagonis kali ini adalah untuk memastikan karakter tersebut kelihatan lebih manusiawi dan tidak terlalu stereotaip.
Katanya, dia tidak mahu watak berkenaan digambarkan sebagai penjahat yang terlalu berkuasa atau bersifat ‘comical’ seperti yang sering dipaparkan dalam filem popular.
“Kesukaran bawa watak penjahat kali ini berbeza. Kalau filem popular macam Marvel atau tempatan, watak jahatnya sangat berkuasa atau ‘comical’.
“Tapi Sam nak pergi ke arah yang betul-betul nampak manusiawi, nampak ‘humble’ tapi narsisistik. Bila watak itu terlalu lembut dan ‘humble’, takut tak nampak pula kejahatan yang boleh buat orang marah. Nak mengimbangi benda itulah yang buatkan ia agak susah sikit,” jelasnya.
Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan dia dipilih untuk membawakan karakter berkenaan, Sam mengakui dia sendiri tidak mengetahui sebab sebenar.
“Saya tak tahu sebab apa. Dia cuma tawarkan dan kata dia nampak mungkin saya sesuai untuk bawa watak itu,” ujarnya.
Selain Sam, Chelot turut dibintangi Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar dan Alicia Amin.
Filem arahan Adrian Teh itu mula menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 27 Ogos 2026.