Sekilas
- Seorang wanita terharu selepas seorang penunggang motosikal berhenti membantu menukar tayar keretanya yang pancit di lebuh raya selepas hampir 30 minit menunggu tanpa bantuan.
- Penunggang motosikal tersebut memakai helmet ungu dan terus menawarkan pertolongan tanpa banyak bercakap sebelum meninggalkan lokasi dengan ucapan berhati-hati.
- Perkongsian wanita itu di TikTok mendapat pujian ramai yang menghargai sikap prihatin dan empati lelaki tersebut dalam membantu tanpa mengharapkan balasan.
Seorang wanita meluahkan rasa terharu selepas menerima bantuan daripada seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali ketika berdepan situasi cemas di lebuh raya, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian TikTok, wanita berkenaan memaklumkan bahawa tayar keretanya pancit dan dia terpaksa menunggu hampir 30 minit di tepi jalan.
“Tayar pancit dekat highway tadi. 30 minit tunggu tak ada seorang pun berhenti sampai
dah start cuak sorang2 dalam kereta,” luahnya.
Sehinggalah satu ketika, seorang penunggang motosikal yang mengenakan helmet berwarna ungu tiba-tiba berhenti memberi bantuan.
Difahamkan, lelaki tersebut tidak banyak bercakap, sebaliknya terus menawarkan pertolongan sebelum menukar tayar kereta wanita itu sehingga selesai.
“Sekali ada rider helmet purple berhenti, ‘Akak okay? Saya tolong’.
“Tak banyak cakap terus tukar tayar, siap je tolong dia cakap, ‘Hati-hati ya’. Lepas itu terus gerak.
“Tak sempat pun tanya nama abang ni tadi tapi serius terima kasih sebab dalam ramai yang lalu abang je yang berhenti,” kongsinya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya memuji sikap prihatin penunggang motosikal berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, warganet menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai bukti bahawa masih ramai individu yang memiliki sifat empati serta sanggup membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.
Sumber: TikTok