Skip to main content

Hiburan

Aaron Aziz Terkilan, Anggap Tindakan Pempengaruh Saman Anak Sebagai Titik Noktah Untuk Berbaik - “Dia Pilih Jalan Ini…”

AARON AZIZ

Pelakon dan usahawan, Datuk Aaron Aziz, meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan pempengaruh Sharina Richie yang menghantar saman kepada anaknya, Dwi Ariana, susulan isu video tular yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Menurut Aaron, beliau masih mampu memaafkan jika perkara itu tidak sampai ke tahap melibatkan anak, namun tindakan menghantar saman dianggap telah menutup ruang untuk berdamai.

Advertisement

“Kalau dia (Sharina) tak hantar saman pada anak saya, mungkin saya akan maafkan dia.

“Tapi dia pilih jalan ini, ruang untuk berbaik itu sudah tiada. Sakit luka, tulang patah boleh dirawat, tapi bila mental kita sakit, ia sukar untuk diubati,” katanya kepada Gempak.

Aaron turut menzahirkan rasa kesal apabila isu berkenaan memberi kesan besar terhadap kerjaya dan kesejahteraan keluarganya, termasuk dua anak yang sedang menuntut di luar negara.

“Total damage… Kerjaya saya terjejas disebabkan isu ini.Dua orang anak saya yang sedang belajar di luar negara hadapi tekanan dengan isu ini dan kalau berlaku sesuatu pada mereka, siapa yang nak bertanggungjawab?

“Ini belum lagi daripada pihak kami tunjuk bukti pelbagai komen negatif yang sangat teruk fasal isteri dan anak-anak. Saya tak sanggup lihat mereka alami anxiety atau depresi,” ujarnya.

Sementara itu, isteri kepada Aaron, Datin Diyana Halik, turut bersuara menzahirkan rasa kecewa apabila anak mereka yang baru berusia 19 tahun turut terpalit dalam kemelut tersebut.

“Sebagai seorang ibu, pastinya saya rasa perkara ini tidak patut dibawa sehingga melibatkan anak. Kalau betul sincere dengan apology, saya rasa tak perlu kot nak libatkan anak saya.

“Saya sekarang jauh daripada dia, jadi susah untuk saya tenangkan dia. Tambahan pula, dia sedang tidak sihat dan ada peperiksaan. Bila dapat surat ni, saya cakap dengan suami saya, please don’t tell her lah, kasih dia buat exam dulu. Tapi saya betul-betul tak sangka pihak sebelah sana boleh buat video dan sebut nama anak saya berkali-kali.

“Dia baru 19 tahun, dan kalau dia dikatakan silap, saya rasa dia juga sebenarnya jadi mangsa keadaan,” jelas Diyana.

Terdahulu, Aaron Aziz mengesahkan telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh, Sharina Richie. 

Menurut Aaron, dia sangat terkejut menerima LOD itu  kerana pihak Sharina mahu menyaman anaknya, Dwi Ariana sebanyak RM2 Juta. 

Must-Watch Video

Advertisement