Sekilas
- Syasya Rizal mengakui sering dibandingkan dengan bekas kumpulan Dolla selepas melancarkan single solo terbaharunya, Different.
- Lagu Different ditulis berdasarkan pengalaman peribadi Syasya dan bukan ditujukan kepada mana-mana pihak, termasuk Dolla.
- Walaupun sudah berbeza imej sebagai isteri dan ibu, Syasya terbuka untuk berkolaborasi dengan Dolla jika ada peluang di masa hadapan.
Selepas melancarkan single terbaharunya yang berjudul Different, penyanyi, Syasya Rizal mengakui dia tidak dapat mengelakkan diri daripada dibandingkan dengan bekas kumpulan yang disertainya iaitu Dolla.
Menurut Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, perkara itu dianggap normal memandangkan dia pernah menjadi anggota kumpulan wanita popular tersebut sebelum mengambil keputusan bergerak secara solo.
“Kalau ada yang membandingkan saya dengan Dolla, saya tidak salahkan mereka sebab saya dulu pernah bergelar sebagai Syasya Dolla. Malah, lagu yang saya selesa adalah lagu rancak seperti ini kerana genre ini yang saya bawa selama ini.
“Tapi saya pilih Different sebagai lagu pengenalan dan lagu pertama untuk perjalanan solo saya juga untuk ketengahkan perbezaan saya. Ada banyak perbezaan yang saya bawa sekarang.
“Saya bawakan imej yang berbeza, wajah yang berbeza dan itu yang saya mahu ketengahkan,” katanya kepada Gempak.
Syasya berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media pelancaran Different di Universal Music Malaysia baru-baru ini.
Menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan lagu terbaharunya itu ditujukan kepada Dolla, Syasya menjelaskan bahawa lirik Different ditulis berdasarkan pengalaman hidup sendiri dan sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak.
“Sebenarnya lirik lagu saya tak ada kena-mengena apa orang luar pun. Sebenarnya lirik ini semuanya mengenai diri saya. Saya yang tulis lagu ini, yang berkisarkan mengenai perjalanan hidup saya.
“Orang dengar liriknya, ‘Langkah aku tak mudah, takkan ku menyerah’, sebab saya sudah lalui banyak perkara dan walau apa pun saya tak berputus asa.
“Dari segi tarian pula, saya merasakan itu suatu yang saya tak boleh kawal sebab saya di bawah pihak pengurusan. Apa yang mereka putuskan, saya ikut saja. Tapi saya tiada katakan, saya mahu keluarkan lagu sama seperti Dolla. Semua ini adalah melalui pihak pengurusan,” katanya lagi.
Tambah Syasya, hubungannya dengan anggota Dolla masih berada dalam keadaan baik walaupun ramai membuat pelbagai spekulasi di media sosial.
“Sebenarnya saya jumpa saja dengan mereka. Ada yang kata kami gaduh dan sebagainya, tapi sebenarnya kami baik. Apa saja yang anda lihat di media sosial itu bukanlah semuanya.
“Sebenarnya media sosial itu hanyalah mengenai kerja kerana kami penyanyi, kami perlu promosi kerjaya kami. Tapi mengenai perhubungan, itu suatu yang kami simpan. Alhamdulillah kami masih okey.
“Mereka pun sibuk dengan kerjaya mereka sekarang dan mereka tahu fokus saya berbeza sekarang ini,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kemungkinan berkolaborasi dengan Dolla pada masa akan datang, Syasya berkata dia terbuka menerima peluang tersebut namun perlu mengambil kira imej yang dibawanya kini sebagai seorang isteri dan ibu.
“Tiada yang mustahil sebenarnya sebab kami di bawah pengurusan yang sama. Kalau ada peluang, saya tidak tolak tapi sudah tentu saya membawakan imej yang berbeza sekarang dan saya juga seorang isteri dan ibu, jadi sekarang ini saya kena jaga imej saya dan banyak benda yang perlu saya jaga juga,” ujarnya.
Untuk rekod, Different menjadi single terbaharu Syasya yang menandakan permulaan perjalanan seninya sebagai penyanyi solo. Lagu tersebut membawa mesej pemerkasaan diri dan mengajak pendengar untuk terus mengejar impian tanpa perlu membandingkan diri dengan orang lain.