Sekilas
- Haiza akhirnya melancarkan single terbaharu berjudul Pencuri yang dirakam sejak 2017 dan dihasilkan hasil kerjasama dengan Aepul Roza selepas program Duo Star.
- Lagu ini menggabungkan elemen pop-elektronik dan dangdut moden, menampilkan sisi berbeza Haiza dengan lirik tentang wanita yang jatuh cinta pandang pertama.
- Muzik video Pencuri menampilkan pelakon Ropie dan mempunyai kesinambungan cerita dengan karya Haiza sebelum ini, Young & Gentleman.
Selepas hampir sembilan tahun tersimpan tanpa diperdengarkan kepada umum, penyanyi dan penyampai radio, Haiza akhirnya tampil dengan single terbaharu berjudul Pencuri yang sebenarnya sudah dirakam sejak 2017.
Menariknya, lagu ciptaan penyanyi dan komposer Aepul Roza itu dihasilkan selepas kedua-duanya bekerjasama menerusi program Duo Star terbitan Astro.
Menurut Haiza, idea menghasilkan lagu tersebut tercetus apabila dia meminta Aepul mencipta sebuah karya baharu selepas menyertai program berkenaan.
Bagaimanapun, perancangan untuk melancarkan Pencuri terpaksa ditangguhkan berikutan komitmen terhadap pelbagai projek lain, sebelum pandemik COVID-19 turut menjejaskan perancangan tersebut.
Selepas menyusun semula perancangan pada 2023, Haiza akhirnya merasakan 2026 merupakan waktu paling sesuai untuk memperkenalkan karya berkenaan kepada pendengar.
“Pada asalnya lagu ini tidak mempunyai tajuk. Selepas mendengarnya berkali-kali, saya merasakan Pencuri paling sesuai.
“Saya mahu tampil dengan naskhah lebih santai, tidak tergesa-gesa dan tidak membuatkan pendengar penat ketika menghayatinya,” katanya.
Berkongsi pengalaman di studio rakaman, calon Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38 (ABPBH38) itu mendedahkan proses rakaman vokal lagu tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh kurang tiga jam.
Namun, Haiza mengakui perlu memberikan perhatian lebih terhadap teknik nyanyian dan sebutan perkataan memandangkan dirinya sudah terbiasa membawakan lagu rancak.
“Contohnya, perkataan ‘saat’ dalam lirik ‘Saat demi saat berlalu’. Aepul menegur sebutan saya supaya jelas dan tidak kedengaran seperti perkataan lain.
“Walaupun kedengaran hampir sama, sebutannya tetap berbeza,” jelasnya.
Dari segi muzik, Pencuri mengetengahkan gabungan pop-elektronik dengan sentuhan dangdut moden atau hipdut, sekali gus menampilkan sisi berbeza Haiza berbanding karya terdahulunya.
Menurut Aepul, cabaran utama dalam menghasilkan lagu tersebut adalah untuk mengimbangi bunyian pop moden dengan melodi yang dekat dengan cita rasa pendengar muzik Melayu.
Malah, Aepul menyifatkan karya itu sebagai antara percubaan awalnya meneroka genre berkenaan pada 2017, ketika muzik seumpamanya masih belum begitu mendapat perhatian.
Perubahan trend muzik sepanjang tempoh tersebut bagaimanapun menjadikan Pencuri dirasakan lebih sesuai dengan selera pendengar masa kini.
Lirik lagu berkenaan pula mengisahkan seorang wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga perasaannya menjadi tidak keruan apabila hatinya dicuri.
Dalam perkembangan sama, muzik video Pencuri turut menampilkan pelakon dan pelawak Ropie sebagai watak utama lelaki.
Menurut Haiza, pemilihan Ropie dibuat kerana mereka sudah lama saling mengenali, selain menyifatkan pelakon tersebut sebagai seorang yang komited dan menepati masa sepanjang penggambaran.
Lebih menarik, muzik video berkenaan mempunyai kesinambungan cerita dengan karya terdahulu Haiza, Young & Gentleman.
“Konsepnya ialah ‘Siapa Dia Sebelum Dia’. Pencuri menjadi episod pertama yang menceritakan bagaimana semuanya bermula,” katanya.
Haiza berharap Pencuri dapat diterima baik oleh peminat daripada pelbagai lapisan usia.
Single tersebut kini boleh distrim menerusi platform digital, manakala muzik videonya dilancarkan pada 20 November 2026, jam 3 petang menerusi saluran YouTube Indigital Music.