Sekilas
- Marsha sedar ada pihak kurang puas hati dengan kemenangannya sebagai Vokal Terbaik di AJL40, namun dia hormati keputusan juri.
- Ini adalah kemenangan pertama Marsha dalam kategori Vokal Terbaik, yang diraih walaupun dalam keadaan kesihatan kurang baik.
- Marsha berharap kemenangan ini menjadi motivasi untuk memperbaiki vokal dan menghasilkan lebih banyak karya baru.
Penyanyi, Marsha Milan akui menyedari ada segelintir pihak yang kurang berpuas hati selepas dirinya dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) pada Sabtu.
Tidak cepat melatah, Marsha bagaimanapun menghormati keputusan juri yang disifatkannya lebih arif dalam membuat penilaian.
“Saya faham, mungkin ada yang tak berapa setuju, mungkin ada yang setuju, bagi saya juri yang memilih dan mereka lebih arif dalam hal ini.
“Jadi saya berterima kasih kepada juri, mungkin telinga juri dan telinga netizen berbeza jadi saya pun tak boleh nak cakap apa-apa.
“Tetapi saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada juri kerana akhirnya mengiktiraf vokal saya,” ujarnya.
Marsha berkata demikian ketika ditemui selepas siaran langsung AJL40 di Unifi Arena pada Sabtu.

Mengulas mengenai kemenangannya, Marsha berkata dia sendiri tidak menjangkakan bakal membawa pulang anugerah berkenaan, apatah lagi itu merupakan kemenangan pertamanya dalam kategori tersebut.
“Alhamdulillah, saya betul-betul tak menjangkakan kemenangan ini dengan situasi kesihatan saya sekarang.
“Tetapi saya sangat bersyukur dan berbesar hati menerima anugerah ini kerana ia merupakan anugerah pertama saya bagi kategori Vokal Terbaik.
“Saya tidak pernah menang Vokal Terbaik sebelum ini.
“Saya sebenarnya tak tahu nak cakap apa, saya kelu. Kalau saya diberikan kesihatan yang saya rasa sempurna pun, mungkin belum tentu lagi saya boleh menang.
“Tapi dengan situasi sekarang, lagi lah saya tak terfikir yang saya akan menang. Jadi bila Acis cakap seperti itu, saya bersyukur sangat sebab akhirnya saya rasa ada orang yang nampak potensi dalam vokal saya.
“Saya harap kemenangan ini boleh menjadi satu motivasi untuk saya terus membetulkan lagi vokal saya dan mungkin juga mencari lebih banyak karya untuk saya berkarya," katanya.
Untuk info, Marsha mempertaruhkan lagu ciptaannya sendiri iaitu Tangisan Seorang Pendosa, dengan lirik oleh Hazama.
Dengan kemenangan itu, Marsha membawa pulang trofi Vokal Terbaik berserta wang tunai RM12,000.