Sekilas
- Afieq Shazwan merancang untuk berkahwin dalam tempoh dua tahun lagi, dengan sasaran pada 28 Ogos 2028.
- Dia memilih untuk fokus pada kerjaya dahulu dan belum membuat perancangan perkahwinan yang teratur.
- Afieq lebih selesa merahsiakan kisah hubungan peribadi bagi mengelakkan gangguan dan mengekalkan keharmonian.
Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan mendedahkan mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua tahun lagi.
Enggan mendedahkan identiti wanita pilihannya, Afieq bagaimanapun berkata buat masa ini dia belum mempunyai perancangan perkahwinan yang benar-benar teratur kerana mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya.
“Tarikh sudah pilih, tapi dua tahun lagi. Sasaran saya adalah pada 28 Ogos 2028. Kalau ada jodoh tak kemana.
“Perancangan untuk diri sendiri itu adalah. Tetapi setakat ini belum ada perancangan yang betul-betul teratur. Mungkin sekarang nak fokus lagi kepada kerjaya,” ujarnya.
Afieq berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbitan iQIYI Original berjudul Sekali Lagi Bahagia bertempat di A Quiet Place, Bukit Bintang pada Isnin.
Dalam pada itu, kata Afieq, keputusan untuk berkahwin bukan sesuatu yang boleh dibuat secara terburu-buru memandangkan kehidupan berumah tangga hadir dengan tanggungjawab yang besar.
“Rasa macam agak muda untuk berkahwin. Apabila kita fikir tentang bersedia untuk berkahwin, sebenarnya banyak aspek yang kita kena persiapkan.
“Apabila saya fikir semula, untuk diri saya sendiri pun saya rasa agak berisiko untuk menamatkan zaman bujang kerana tanggungjawabnya besar.
“Saya tak nak apabila nanti saya sibuk bekerja, walaupun tujuan bekerja itu untuk mencari nafkah, akhirnya saya pula mengabaikan keluarga.
“Saya pun tak tahu siapa bakal pasangan saya nanti. Saya juga tak mahu menghalang apa yang dia inginkan dalam hidup.
“Jadi, biarlah masing-masing mengejar apa yang diinginkan. Satu hari nanti, kalau betul-betul sudah bersedia, barulah kami akan umumkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Afieq lebih selesa memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kisah hubungan cintanya kepada umum.
Kata Afieq, sikap terlalu terbuka mengenai hubungan peribadi dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai perkara yang akhirnya mengganggu keharmonian hubungan.
“Kadang-kadang apabila kita terlalu mendedahkan hubungan, kita tak tahu apa yang boleh berlaku.
“Kadang-kadang boleh menyebabkan bergaduh sampai tak mahu bersemuka atau berjumpa.
“Jadi sekarang ini kami lebih fokus kepada kerjaya masing-masing. Apabila orang tidak terlalu tahu, setakat ini hubungan itu lebih mudah dari segi komunikasi.
“Lebih selesa. Tak ada isu nak marah-marah atau sebagainya. Sebab kadang-kadang kita sendiri pun tak sedar dan tertanya, “Kenapa kau jadi macam ini?””
Sebelum ini, Afieq pernah dikhabarkan menjalinkan hubungan istimewa dengan penyanyi Wani Kayrie ketika menyertai program Big Stage 2018.
Sejak itu gosip percintaan mereka hangat diperkatakan, malah ada yang mendakwa mereka saling berbalas rasa menerusi lagu Cak Cak Cekuk dan Kepak Kepuk.