Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap setiap penyanyi mempunyai keunikan dan kelas mereka yang tersendiri.
Oleh itu, tidak wajar untuk kemenangan mana-mana calon di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini menjadi satu isu untuk diperdebatkan.
“Kita jangan jadikan itu satu isu untuk mempertikaikan mana-mana pihak sebab bagi saya setiap orang ada suara yang tersendiri, unik dan setiap orang telah ditentukan rezeki masing-masing.
“Pada waktu juri mengadili mereka sudah pun bersepakat memilih siapa jadi pemenang. Jadi kriterianya bergantung pada apa yang mereka cari sebab mana yang sudah tercalon finale ada peluang untuk menang dan semua yang terbaik lah, mana yang tercalon finalis itu.
“Tinggal lagi, rezeki siapa je yang akan jadi juara mengikut pilihan juri pada ketika itu. Saya rasa macam itulah, sebab saya dah melalui AIM berpuluh tahun, saya dah faham,” katanya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu juga percaya setiap pemenang sememangnya layak meraih anugerah yang diberikan.
“So, janji kita dah masuk finalist tu sebenarnya kita dah menang dah. Tinggal lagi rezeki siapa yang akan dinobatkan sahaja. Dan saya percaya, masing-masing yang menang ni pun memang deserve it. Okey, tak perlu kita bising-bising dah lah,” tambahnya.
Terdahulu, penyanyi, Atilia Haron mencuri perhatian apabila mempersoalkan standard penilaian dalam industri muzik tanah air khususnya melibatkan kemenangan anugerah.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Atilia membuat perbandingan dengan penyanyi antarabangsa terkenal, Norah Jones dan Sade yang dikenali dengan gaya vokal lembut tanpa perlu meninggikan suara.