Ringkasan AI
- Amelia Henderson menjelaskan video mesra bersama 'Mr. C' yang tular sebenarnya adalah pengurus peribadinya, bukan kekasih.
- Amelia menganggap suntingan video tersebut lucu dan tidak berkecil hati dengan spekulasi netizen.
- Pelakon itu kini bahagia dengan kerjaya dan bisnesnya, walaupun belum mempunyai hubungan istimewa.
- Amelia menghargai doa peminat dan menyerahkan soal jodoh kepada takdir.
- Amelia akan kembali sebagai hos program INNOVATHON Musim Ketiga yang akan disiarkan mulai 6 Disember 2025 di Astro Ria dan TV1.
Pelakon dan hos, Amelia Henderson tampil menjernihkan spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan seorang jejaka dikenali sebagai ‘Mr. C’ selepas tular beberapa suntingan video ‘mesra’ mereka di media sosial.
Jelas Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 30, dia tidak berkecil hati dengan tindakan segelintir netizen yang ‘menyunting’ video dirinya bersama lelaki berkenaan, malah menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang menghiburkan.
“Saya tak kisah orang buat edit video saya dengan Mr. C. Saya rasa benda tu sangat comel dan kelakar sebenarnya,” katanya.
Amelia berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media program Innovathon Musim Ketiga di ibu negara pagi ini.
Tambah Amelia, individu yang digosipkan dengannya itu sebenarnya merupakan pengurus peribadinya sendiri, bukan kekasih seperti disangka ramai.
“Saya sangat bersyukur dengan semua doa positif daripada peminat. Tapi orang yang kenal saya dalam dunia sebenar tahu, Mr. C tu sebenarnya pengurus saya.
“Saya tahu ramai yang tag saya dan kawan-kawan media, tapi saya okey je… kelakar pun ada,” ujarnya.
Mengulas mengenai status kehidupannya kini, Amelia menjelaskan dia berada di fasa paling bahagia walaupun belum mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki.
“Saya sentiasa di fasa bahagia. Dah bertahun-tahun saya bahagia dengan kerja, kehidupan dan bisnes saya yang makin berkembang.
“Tapi kalau nak cakap tentang bahagia dalam perhubungan… belum lagi. Buat masa sekarang saya bahagia dengan kerja saya,” katanya.
Pelakon filem Magik Rompak itu turut menzahirkan rasa syukur apabila masih ramai peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya, meskipun pernah melalui pengalaman pahit dalam kehidupan peribadi.
“Saya hargai semua doa yang baik-baik. Saya pun doakan supaya satu hari nanti Allah hadirkan jodoh dengan lelaki yang penyayang dan baik hati.
“Tapi bab jodoh ni saya serahkan semuanya pada takdir,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amelia bakal muncul semula sebagai hos bersama Awal Ashaari untuk program INNOVATHON Musim Ketiga.
Tayangan program yang menampilkan lapan episod itu akan bermula pada 6 Disember 2025 hingga 25 Januari 2026, disiarkan di Astro Ria serta turut ditayangkan di TV1 (RTM) seperti musim sebelumnya.
INNOVATHON terus menjadi platform penting dalam melahirkan personaliti dalam bidang inovasi, membantu memasarkan produk peserta serta menghubungkan para inovator dengan pelabur.
Kementerian Ekonomi berharap program ini akan terus berkembang dan membantu inovator tempatan mengkomersialkan produk mereka.
Turut hadir pada sidang media pelancaran ialah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron; Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Ham Ahmad; serta pegawai-pegawai kanan kementerian.