Sekilas
- NS Star Media anjur sesi uji bakat terbuka iLINDUNG U Gegar @ Melaka pada 17 Oktober di Dataran Keris, Alor Gajah, tanpa syarat pengalaman berlakon.
- Pengunjung boleh nikmati persembahan Amelina, Zaki Yamani dan Santesh serta aktiviti menarik seperti pertandingan Asam Pedas Melaka dan Pesta Mainan Anak.
- Program anjuran PERKESO turut sediakan kaunter penerangan perlindungan sosial dan cabutan bertuah dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Ada impian nak bergelar pelakon tetapi tidak tahu bagaimana mahu bermula? Ini mungkin peluang untuk anda mencuba nasib dalam dunia seni!
Syarikat produksi NS Star Media milik pelakon dan penggiat seni, Darling Ngasri bakal mengadakan sesi uji bakat terbuka menerusi program iLINDUNG U Gegar @ Melaka yang berlangsung di Dataran Keris, Alor Gajah, pada 17 Oktober ini.
Menariknya, sesi uji bakat bertemakan ‘Ayuh!! Jadi Bintang Filem Bertemakan Pesona Filem Melayu’ itu tidak menetapkan pengalaman berlakon sebagai syarat utama.
Sebaliknya, penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia termasuk kanak-kanak dan golongan dewasa yang mempunyai minat serta keberanian untuk mencuba.
Menurut Darling, inisiatif tersebut bertujuan membuka ruang kepada bakat baharu, khususnya mereka yang selama ini menyimpan impian untuk menceburi bidang lakonan.
“Kami mahu memberi peluang kepada mereka yang selama ini menyimpan impian untuk menjadi pelakon.
“Tak semestinya perlu ada pengalaman. Yang penting, berani mencuba, yakin dengan diri sendiri dan mempunyai pesona tersendiri!” katanya.
Mengambil inspirasi daripada filem Melayu klasik, uji bakat tersebut turut memberi penekanan terhadap penghayatan watak, ekspresi, gaya serta kreativiti peserta.

Sesi berkenaan dijadualkan bermula pada pukul 12 tengah hari.
Bukan itu sahaja, pengunjung yang hadir turut berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi dangdut popular, Amelina bersama Zaki Yamani dan Santesh pada pukul 5 petang.
Program berkenaan juga bakal dimeriahkan dengan kemunculan Bell Ngasri dan Haiza Hanafi sebagai hos.
Amelina yang mesra disapa Alin mengakui tidak sabar untuk bertemu peminat di Melaka dan bakal menghiburkan mereka dengan tiga buah lagu termasuk single terbaharunya, ‘Sayang Memang Sayang’.
“Alin tak sabar nak jumpa peminat di Melaka. Alin akan hiburkan pengunjung dengan tiga buah lagu termasuk lagu viral Alin sekarang ini, ‘Sayang Memang Sayang’.
“Alin juga bersyukur sekarang single ‘Sayang Memang Sayang’ dah dapat lebih 560,000 tontonan dalam masa dua bulan.
“Kini selain sibuk dengan persembahan, ada masa terluang Alin akan rakam lagu baharu. Senang buat simpanan, bila nak keluarkan single baharu dah ada semuanya,” katanya.
Selain persembahan dan uji bakat, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk pertandingan pencarian Asam Pedas Melaka, Pesta Mainan Anak Melaka serta cabutan bertuah.

Program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan turut menyediakan kaunter penerangan berkaitan perlindungan sosial untuk orang ramai.
Antara maklumat yang boleh diperoleh termasuk skim Lindung 24 Jam, Lindung Pekerja, Lindung Kendiri, Lindung Kerjaya dan Lindung Kasih.
Orang ramai yang berminat mencuba nasib sebagai pelakon atau menyaksikan persembahan artis boleh hadir ke Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu ini.