Anak kepada pelakon, Datuk Aaron Aziz iaitu Dwi Ariana menafikan telah membuli pempegaruh, Sharina Richie.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Ariana menjelaskan dia hanya mahu mempertahankan maruah bapanya serta meminta kerjasama pihak terbabit agar menurunkan sebuah video yang telah memberi kesan negatif kepada keluarga mereka.
“Tangkapan skrin yang saya tunjukkan ini adalah mesej yang saya hantar minggu lepas dan itulah satu-satunya mesej saya kepadanya. Tiada ugutan, tiada pembulian.
“Saya hanya cuba menerangkan secara baik tentang kesan yang telah dilakukan terhadap ayah saya, dan cuba mendapatkan simpati daripadanya untuk menurunkan video itu demi adik saya yang berusia 15 tahun,” katanya.
Ariana turut menjelaskan bahawa dia hanya memilih untuk memuat naik kenyataannya secara terbuka selepas individu terbabit tidak memberi sebarang respon terhadap mesej peribadi yang dihantar.
“Saya hanya memuat naik perkara ini secara terbuka selepas dia tidak membalas mesej saya.
“Saya mungkin berusia 19 tahun tetapi sebagai seorang yang berpendidikan dan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi, saya tahu batas dan saya tahu apa itu pembulian. Saya bukan pembuli,” jelasnya.
Terdahulu, Aaron Aziz dan isteri, Diyana Halik mengesahkan telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh, Sharina Richie.
Menurut Aaron, dia sangat terkejut menerima LOD itu kerana pihak Sharina mahu menyaman anaknya, Dwi Ariana sebanyak RM2 Juta.