Skip to main content

Hiburan

Angkat Kisah Pemerdagangan Manusia, Filem MAK #SalamDariSyurga Penuh Emosi & Air Mata

MAK

Sekilas

  • Filem MAK #SalamDariSyurga mengangkat isu pemerdagangan manusia dengan elemen kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.
  • Pelakon utama Azman Ahmad bersama Datuk Fauziah Nawi dan Izzy Reef membawa watak penting dalam filem yang turut memberi peluang kepada bakat baru.
  • Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 22 Januari 2026 dengan latar kampung di Kedah dan penggambaran mencabar di hutan.

Filem MAK #SalamDariSyurga merupakan sebuah filem yang mengangkat tentang kisah pemerdagangan manusia yang sebenarnya masih berlaku dalam realiti kehidupan.

Menurut penerbit yang juga pelakon utama bagi filem ini iaitu Azman Ahmad, tercetusnya idea bagi menghasilkan naskhah ini adalah untuk memberi perhatian kepada isu tersebut disamping meletakkan elemen kekeluargaan yang begitu dekat dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Dalam kesibukan dunia hari ini, ramai antara kita tanpa sedar semakin jauh daripada insan yang paling dekat di hati.

“Ramai antara kita hidup dalam kesibukan sehingga lupa menghargai perkara paling dekat. Filem ini cuba mengingatkan semula, tanpa mengajar atau menghukum.

“Kami mahu penonton keluar dari pawagam dengan perasaan yang jujur. Jika ada yang terdiam, tersenyum atau menitiskan air mata, itu sudah cukup bagi kami,” katanya.

Bercakap mengenai soal pemilihan pelakon, Azman memaklumkan bahawa pemilihan dilakukan bagi memastikan setiap watak memberi impak kepada penceritaan.

Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Datuk Fauziah Nawi yang memegan watak sebagai seorang ibu.

“Saya mahu Datuk Fauziah Nawi sebagai ‘mak’ kerana kredibiliti beliau tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Selain itu, kehadiran pelakon berbakat seperti Izzy Reef, yang merupakan pemenang anugerah, memberikan keseimbangan kepada naskhah ini.

“Selain itu filem ini juga ingin beri peluang kepada ramai bakat baru yang berbakat. Ada antara mereka kali pertama berlakon filem, jadi saya ingin mencabar mereka dan ternyata setiap pelakon berjaya pamerkan aksi yang cemerlang,” katanya.

Sementara itu, pengarah filem ini yang juga Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) iaitu Hj Hafiz Nafiah menyiafatkan penggambaran naskhah ini sebagai satu cabaran besar, terutama apabila barisan pelakon dan kru perlu berkampung di dalam hutan bagi menjayakan babak-babak penting.

“Cabaran paling tinggi adalah apabila kita perlu menjalani penggambaran luar. Kami berkampung selama dua hari dua malam di dalam hutan hanya untuk menyiapkan satu babak demi memastikan kualiti visual yang terbaik,” katanya.

Lebih daripada sekadar kisah ibu dan anak, Mak #SalamDariSyurga mengangkat persoalan tentang penyesalan, peluang kedua dan makna pulang ke rumah sama ada secara fizikal atau emosi.

Berlatarbelakangkan sebuah kampung di Kedah, filem ini mengisahkan Aman (Azman Ahmad) yang terperangkap dalam dilema apabila terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh Edy (Megat Sharizal).

Keadaan menjadi semakin parah apabila Aman menjadi buruan pihak polis selepas satu serbuan di sempadan negara. Demi membersihkan namanya di mata ibunya, Nor (Datuk Fauziah Nawi), Aman memilih untuk bertahan hidup di dalam hutan selama berminggu-minggu demi pulang menemui ‘syurganya’.

Diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, Mak #SalamDariSyurga akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2026.

Must-Watch Video

Advertisement