Sekilas
- Filem animasi China, Niu Lai, menjadi tular walaupun menggunakan model 3D ringkas dengan pergerakan kaku dan dialog janggal.
- Filem ini meraih kutipan RM9.1 juta selepas mendapat perhatian ramai yang ingin menilai sendiri kualitinya di pawagam.
- Pengarah Xin Yumeng mengutamakan jalan cerita berbanding visual sempurna dan kini sedang menghasilkan filem animasi kedua, Sheep High.
Sebuah filem animasi China dengan judul Niu Lai menjadi fenomena selepas hasil naskhah tersebut disifatkan terlalu jauh daripada piawaian kecerdasan buatan (AI) pada masa kini apabila ia dibikin dengan hanya menggunakan model 3D yang ringkas.
Lebih mengejutkan, meski dihadirkan dalam model 3D yang ringkas dengan pergerakan kaku, dialog yang janggal dan kesan bunyi yang disifatkan sebagai kadang-kala kedengaran pelik sehingga menjadi tular dan jenaka di internet kini telah mencetak sejarah tersendiri.
Animasi Niu Lai atau The Cow Is Coming yang menerima kecaman sebelum ini telah meraih kutipan sehingga RM9.1 juta. Penonton didakwa mula datang ke panggung untuk menyaksikan hasil sebenar animasi berdurasi 86 minit di pawagam meski ada ulasan yang diberikan pengkritik agar filem tersebut ditarik keluar daripada jadual tayangan.
Salah satunya adalah akhbar milik kerajaan, Beijing News memberi amaran pawagam berisiko “kehilangan kepercayaan” penonton sekiranya terus “merendahkan standard” dengan memberikan lebih banyak tayangan kepada Niu Lai.

Akhbar itu berpendapat pawagam tidak seharusnya sekadar mengikut trend yang tercetus di internet. Sebaliknya, mereka digesa menolak filem yang dianggap jelas tidak mencapai standard tersebut.
Ironi, pada awal tayangannya, filem itu hanya menarik 236 penonton dan mencatat kutipan sekitar 7,169 yuan (RM4,400), namun berubah selepas beberapa klip dan tangkap layar animasi Niu Lai yang kelihatan sengaja dibuat serba ringkas mula tular di media sosial.
Rasa ingin tahu akhirnya mendorong orang ramai membeli tiket semata-mata untuk melihat sendiri sama ada filem itu benar-benar teruk seperti yang diperkatakan.
Bercakap mengenai sambutan di luar jangka animasi tersebut, pengarahnya, Xin Yumeng dipetik dalam satu temu bual radio bersama Entrepreneurial Youth Talk, seperti dilaporkan Wenxue City mengaku sengaja mengutamakan jalan cerita berbanding ‘ketepatan’ visual.

“Kalau kami menghabiskan seluruh tenaga untuk memastikan ketepatan rendering, filem ini mungkin tidak akan pernah siap. Daripada memberi perhatian kepada setiap perincian dengan memastikan keseluruhan naratif bergerak lancar, saya memilih untuk mendahulukan cerita,” kata Xin Yumeng seperti dilaporkan The Independent.
Xin juga mengatakan lebih mementingkan jalan cerita secara keseluruhan berbanding memastikan setiap perincian visual kelihatan sempurna dari sudut teknikal. Baginya, penonton datang ke pawagam untuk menikmati filem, bukannya memeriksa ‘setiap helai bulu menggunakan mikroskop’.
Mengulas mengenai pelbagai kritikan yang diterimanya, Xin berkata dia menerima semua kritikan dengan hati terbuka.
Bagaimanapun, pereka dalaman yang tidak mempunyai latar belakang perfileman itu menegaskan kejayaan mengejut Niu Lai bukan hasil strategi pemasaran yang dirancang secara terperinci.
“Tiada apa yang boleh dipasarkan. Saya sendiri tidak mempunyai wang untuk pemasaran,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, Xin turut mendedahkan produksi filem animasi keduanya, Yang Gao atau Sheep High, sudah pun bermula.
Kali ini, katanya: “Kami tidak perlu menunggu lima tahun.”
Niu Lai sendiri diketahui dihasilkan secara mandiri atau DIY oleh Xin bersama ibunya yang menjadi penulis skrip ‘bidan terjun’ serta bertindak sebagai penulis, pengarah, pelakon suara serta penerbit, menjadikan Niu Lai pada asasnya sebuah produksi yang hanya digerakkan oleh dua individu.
Malah sebahagian besar peralatan yang digunakan pula terdiri daripada komputer terpakai yang dibeli menerusi Xianyu, sebuah platform jual beli dalam talian di China.