Sekilas
- Pelakon Anna Jobling menerima anugerah Southeast Asia’s Best Screen Talent Award pada majlis Top 10 of Asia 2026 di Kuala Lumpur.
- Anugerah ini diiktiraf sebagai penghormatan terhadap bakat lakonan dan sumbangan Anna mewakili Malaysia di peringkat serantau.
- Anna berazam untuk terus memperbaiki mutu lakonan dan mengembangkan kerjaya ke peringkat antarabangsa demi membawa nama Malaysia lebih jauh.
Pelakon popular, Anna Jobling terus mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan Southeast Asia’s Best Screen Talent Award pada majlis Top 10 of Asia 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghormatan terhadap bakat Anna dalam bidang lakonan serta sumbangannya sebagai anak seni yang mewakili Malaysia di peringkat serantau.
Menzahirkan rasa syukur, Anna menyifatkan anugerah berkenaan sebagai pembakar semangat untuk dirinya terus memperbaiki mutu lakonan dan memberikan yang terbaik dalam setiap karya.
“Saya sangat bersyukur dan terharu menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja bermakna buat saya, malah menjadi pembakar semangat untuk terus belajar, bekerja keras dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Anna tidak melupakan jasa individu yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan bergelar anak seni.
Menurut Anna, kejayaan tersebut ingin dikongsikan bersama keluarga, syarikat pengurusan, stesen televisyen, pihak produksi serta peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan terhadap kerjayanya.
“Saya ingin berkongsi penghargaan ini dengan semua pihak yang sentiasa percaya dan menyokong saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin sampai ke tahap ini,” katanya.

Tidak mahu berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, Anna turut menyuarakan hasrat untuk mengembangkan kerjaya lakonannya ke peringkat antarabangsa, sekali gus membawa nama Malaysia ke pentas yang lebih besar.
“Saya juga berazam untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Jika ada peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa saya sedia untuk melakukannya,” katanya.
