Sekilas
- Aqasha tersenyum membaca komen netizen yang minta dia sertai Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
- Dia berkongsi reaksi lucu di TikTok tentang kenapa tidak dijemput menyertai program popular itu.
- Aqasha berjenaka akan sertai program baru bernama 'Gegar Ovarimak' untuk jawab segala persoalan.
- Dia menegur sikap sesetengah pihak yang suka bercakap tanpa usul periksa.
- Aqasha pernah sertai GV4 pada 2017 dan tersingkir di suku akhir.
Penyanyi dan pelakon, Aqasha hanya mampu tersengih membaca komen netizen yang memintanya untuk menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Menerusi TikTok, Aqasha yang memuat naim foto dirinya berlatarbelakangkan lambang GV turut berkongsi reaksi lucunya terhadap pertanyaan sesetengah pihak yang pelik mengapa dirinya tidak dijemput bagi menyertai program popular itu.
“Mereka pekik pada aku, ‘Kenapa tak masuh GV? Kenapa dia ini tak dipanggil?’. Menyengih aku baca komen sambil dalam hati aku, ‘Ek eleh… kau sendiri pun tak tengok, main sedap petik aje’,”tulisnya.
Menerusi hantaran sama, pelantun lagu Embun itu sempat berseloroh mengatakan dirinya bakal menyertai sebuah program supaya dapat menjawab segala pertanyaan ramai.
Aqasha juga sempat memberikan teguran terhadap sikap segelintir pihak yang gemar bercakap tanpa sebarang usul periksa.
“Nantilah… aku join satu program meletop bagai nak rak ‘Gegar Ovarimak’ dorang nak buat. Itu jam aku harap semua tengok supaya tak ada yang dapat jawapan bidaah.”
“Almaklumlah, (orang) Malaysia ini tak kenal orang. Lelaki dan perempuan kadangkala mereka keliru, inikan pula antara yang berakal atau tidak,” ujarnya.
Sekadar info, Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli pernah menyertai program Gegar Vaganza bagi musim ke-4 (GV4) pada tahun 2017 di mana dia tersingkir di minggu suku akhir.
Sumber: TikTok Aqasha