Sekilas
- Astro Audio News menang dua anugerah utama di Anugerah Media Perkeso 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025.
- Laporan radio mereka yang memenangi anugerah membincangkan isu penting seperti RUU Pekerja GiG 2025 dan The Urban Renewal Act.
- Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen Astro Audio News dalam menyediakan berita berkualiti, relevan dan berimpak tinggi kepada pendengar.
Astro Audio News sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam dunia penyiaran apabila meraih dua anugerah utama di dua majlis berprestij, iaitu Anugerah Media Perkeso 2025 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025.
Di Anugerah Media Perkeso 2025, Astro Audio News dinobatkan sebagai Juara bagi kategori Anugerah Laporan Radio Terbaik menerusi laporan bertajuk “RUU Pekerja GiG 2025: Dari Risiko Jalanan ke Payung Jaminan” hasil kreativiti wartawan penyiaran dan pembaca berita, Muhammad Najib Md Nazri.
Sementara itu, di Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025, Astro Audio News meraih tempat pertama bagi kategori Anugerah Penyiaran Radio Terbaik dengan laporan bertajuk “The Urban Renewal Act – The Debate Over Redeveloping Malaysia” yang dihasilkan oleh wartawan penyiaran dan pembaca berita, Nicholas Darren John.

Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Radio News, Moganadas Muniandy, berkata kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan usaha keras pasukan kami, tetapi juga komitmen berterusan untuk memberikan kandungan berita yang berkualiti, sahih dan relevan kepada pendengar.
“Astro Audio News sentiasa percaya bahawa setiap laporan yang kami hasilkan bukan sekadar berita, tetapi satu tanggungjawab untuk mendidik, memberi maklumat dan membentuk pemahaman masyarakat.”
“Pengiktirafan ini menjadi motivasi besar untuk kami terus berinovasi, memanfaatkan teknologi terkini dan memperkukuh kredibiliti sebagai sumber berita yang dipercayai. Kami akan terus memastikan setiap laporan kami membawa nilai kepada pendengar, sama ada melalui platform radio mahupun digital. Sokongan anda adalah kekuatan kami terus bersama Astro Audio News untuk berita yang tepat, pantas dan berimpak tinggi,” ujarnya.
