Sekilas
- Linda Jasmine, ibu kepada bekas peserta TTMM2, membalas kenyataan pengacara Hawa Rizwana dengan komen positif dan menyatakan kekeliruan tentang isu yang timbul antara mereka.
- Hawa Rizwana berharap hari mendatang membawa perkara yang lebih baik dan menerima sokongan daripada Linda serta anaknya, Tengku Ratu Haidar.
- Isu ini tercetus selepas video tular menunjukkan Hawa didakwa mengabaikan Ratu ketika program MeleTOP, yang menimbulkan perbincangan netizen mengenai sikap pilih kasih pengacara itu.
Ibu kepada bekas peserta Talk To My Manager 2(TTMM2), Tengku Ratu Haidar iaitu Linda Jasmine membalas menyorot perhatian netizen selepas membalas kenyataan daripada pengacara, Hawa Rizwana.
Menerusi hantaran tersebut, Hawa atau nama lengkapnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 31, menitipkan harapan agar hari mendatang membawa perkara yang lebih baik.
Perkongsian itu kemudian mendapat respons daripada Linda yang meninggalkan komen positif buat Hawa, selain menyatakan rasa hairan bagaimana isu melibatkan pengacara itu dan anaknya boleh tercetus.
“Selamat malam. Semoga hari esok menjadi lebih baik, insya-Allah,” tulisnya Hawa.
“Insya-Allah. Bagaimana isu seperti ini boleh timbul... awak seorang yang sangat baik.
“Terimalah pelukan daripada saya dan Ratu,” tulisnya.
Terdahulu, tular klip video yang memaparkan Hawa didakwa tidak mengendahkan Ratu ketika mereka bertemu dalam program MeleTOP pada Selasa lalu.
Menerusi rakaman yang tersebar, Ratu dilihat cuba melagakan pipi dengan Hawa, namun tindakan itu didakwa tidak mendapat respons seperti yang diharapkan.
Situasi tersebut kemudian mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan bahawa Hawa bersikap pilih kasih terhadap selebriti jemputan.