Skip to main content

Selebriti

Azmi Saat Tersentuh, Lisa Surihani Minta Maaf Tak Sempat Sapa Caliph Buskers - “Tak Tegur Kami Pun Bukan Satu Kesalahan…”

Azmi Saat Tersentuh, Lisa Surihani Minta Maaf Tak Sempat Sapa Caliph Buskers - “Tak Tegur Kami Pun Bukan Satu Kesalahan…”

Sekilas

  • Azmi Saat memuji Datin Lisa Surihani yang sentiasa memberi salam dan bertanya khabar kepada anggota Caliph Buskers setiap kali bertemu, termasuk di set MeleTOP.
  • Lisa pernah memohon maaf kerana tidak sempat menyapa mereka ketika promosi Kilauan Emas Selebriti, walaupun Azmi menganggap itu bukan kesalahan.
  • Azmi berharap masyarakat mengamalkan budaya memberi salam dan menyapa tanpa mengira status kerana ia memberi kesan besar kepada penerima.
Advertisement

Penyanyi, Azmi Saat akui tersentuh dengan sikap pelakon, Datin Lisa Surihani yang disifatkannya sebagai seorang yang cukup menghargai orang lain sehingga sanggup meminta maaf hanya kerana tidak sempat menyapa anggota Caliph Buskers.

Menerusi perkongsian di Facebook, Azmi berkata Lisa sememangnya tidak pernah gagal memberi salam dan bertanya khabar kepada mereka setiap kali bertemu, termasuk ketika berada di set program MeleTOP.

Advertisement

“Tiba-tiba saya teringat satu perkara tentang Datin Lisa Surihani. Mungkin bagi orang lain, benda ni nampak kecil. Tapi bagi saya, sampai sekarang saya masih teringat.

“Seperti yang ramai tahu, Caliph Buskers bertugas di MeleTOP. Jadi, setiap kali Datin Lisa datang ke MeleTOP, beliau tak pernah tak datang kepada kami untuk beri salam dan bertanya khabar.

“Kalau betul-betul kesuntukan masa sekalipun, beliau akan beri salam dari jauh,” coretnya.

Bukan sekadar di set MeleTOP, Azmi berkata Lisa juga akan cuba mencuri masa untuk menyapa mereka setiap kali terserempak di mana-mana.

Malah, Lisa juga akan bertanya khabar sebelum berpesan kepada mereka supaya menjaga diri.

“Dan perkara ni bukan berlaku di set MeleTOP sahaja. Di mana-mana sahaja kalau beliau ternampak kami, beliau akan cuba curi sedikit masa untuk menyapa.

“Beliau akan mulakan dengan salam. Kenalkan diri walaupun sebenarnya dengan suara beliau, kami dah kenal.

“Lepas tu beliau akan tanya khabar, borak sedikit dan sebelum beredar, biasanya beliau akan pesan,

“Jaga diri baik-baik. Moga Allah merahmati kalian.”Begitulah setiap kali. Tapi sebenarnya bukan itu yang paling saya ingat,” ujarnya.

Lebih menyentuh hati Azmi apabila Lisa baru-baru ini memohon maaf kepadanya kerana tidak sempat menyapa Caliph Buskers ketika berada di MeleTOP untuk mempromosikan program Kilauan Emas Selebriti.

Menurut Azmi, ketika itu Lisa hadir bersama suaminya, Datuk Yusry yang juga merupakan salah seorang juri tetap program berkenaan.

Azmi mengakui dirinya terkejut mendengar permohonan maaf tersebut kerana baginya, Lisa langsung tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Yang paling saya tak boleh lupa ialah peristiwa baru-baru ini apabila saya bertemu dengan Datin Lisa di Kilauan Emas Selebriti.

“Waktu itu beliau datang bersama suaminya, Datuk Yusry yang merupakan salah seorang juri tetap. Bila kami bertemu, seperti biasa Datin Lisa mulakan dengan memberi salam.

“Kemudian tiba-tiba beliau minta maaf kepada saya. Katanya, ‘maaf tau. Hari tu saya ada di MeleTOP waktu Abang Yusry promo Kilauan Emas ni. Tapi saya tak sempat nak tegur Caliph Buskers. Orang terlalu ramai. Rasa macam tak sopan pula saya nak berlari-lari depan penonton yang terlalu ramai tu. Maaf ya,’

“Terus terang saya cakap, saya agak terkejut. Sebab pada saya, tak tegur kami pun bukan satu kesalahan. Saya tak pernah pun terfikir tentang perkara itu.

“Tapi Datin Lisa masih rasa perlu meminta maaf. Dan entah kenapa, perkara kecil itu betul-betul menyentuh hati saya.

“Kami bukan keluarga beliau. Kami bukan orang yang perlu beliau jaga hati. Tetapi beliau begitu menghargai kami, sampai perkara sekecil tidak sempat menyapa pun beliau rasa bersalah.

“Saya jadi teringat bagaimana Nabi Muhammad SAW sangat menekankan soal memberi salam dan menyebarkan salam.

“Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, antara perkara yang Baginda pesan ialah supaya kita menyebarkan salam dan memberi makan kepada orang lain.

“Salam mungkin hanya beberapa patah perkataan. ‘Assalamualaikum.’ Tetapi sebenarnya salam itu membawa doa. Semoga keselamatan, rahmat dan keberkatan Allah ke atas kamu.

“Dan saya rasa, mungkin inilah salah satu hikmah besar daripada ajaran Nabi tentang salam. Salam membuatkan seseorang rasa dirinya dihargai,” jelasnya.

Menurut Azmi, pengalaman tersebut ternyata menyedarkannya bahawa perkara yang dianggap kecil oleh seseorang mungkin sebenarnya memberi makna besar kepada penerimanya.

“Bayangkan kita berjalan di satu tempat, kemudian ada orang yang mengenali kita dan datang menghampiri. Dia beri salam. Dia tanya khabar. Dia luangkan masa walaupun sekejap.

“Mungkin bagi orang itu cuma beberapa saat. Tetapi bagi kita yang menerimanya, mungkin ia boleh menjadi kenangan yang kita simpan bertahun-tahun.

“Itulah yang saya rasa daripada Datin Lisa. Sebenarnya Datin mungkin tak sedar pun bahawa setiap kali beliau datang memberi salam kepada kami, bertanya khabar dan berpesan supaya kami jaga diri, semua itu kami ingat.

“Dan lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri rasa bersalah hanya kerana pernah tidak sempat menyapa kami,” kongsinya lagi.

Dalam hantaran yang sama, Azmi turut berharap masyarakat dapat mengamalkan budaya memberi salam dan menyapa orang lain tanpa mengira status atau kepentingan.

“Saya terfikir…Kalau satu salam yang kita beri dengan ikhlas pun boleh meninggalkan kesan sebegitu kepada seseorang, alangkah indahnya kalau kita hidup dengan budaya memberi salam.

“Tak perlu tunggu orang penting. Tak perlu tunggu orang kenal kita. Tak perlu tunggu ada kepentingan. Jumpa orang, kita beri salam. Nampak orang yang kita kenal, kita tegur.

“Sebab mungkin kita rasa ia perkara kecil. Tapi mungkin bagi orang yang menerima salam itu, ia sangat besar maknanya.

“Terima kasih Datin Lisa, kerana secara tidak langsung Datin mengingatkan saya semula tentang satu ajaran Rasulullah SAW yang sangat indah ini,” coretnya.

Anda mungkin berminat dengan

Renoma - 3 pairs Socks (ROA43)

Renoma - 3 pairs Socks (ROA43)

Men’s Formal Shirt Long Sleeves/ Kemeja Lelaki Formal | Baby Blue | Coffee | Maroon color etc

Men’s Formal Shirt Long Sleeves/ Kemeja Lelaki Formal | Baby Blue | Coffee | Maroon color etc

🔥🔥 [𝐒-𝟔𝐗𝐋] Unisex Long Sleeve hoodies Solid Zipper

🔥🔥 [𝐒-𝟔𝐗𝐋] Unisex Long Sleeve hoodies Solid Zipper

Silver-coated windbreaker for men and women, waterproof and effective against cold wind, 3-zip windbreaker with 2 layers of beautiful quality mesh lining to keep warm

Silver-coated windbreaker for men and women, waterproof and effective against cold wind, 3-zip windbreaker with 2 layers of beautiful quality mesh lining to keep warm

Men's Slack Straight Cut Kain Cotton Seluar Slack Lelaki

Men's Slack Straight Cut Kain Cotton Seluar Slack Lelaki

ZITY Shark Skin Waterproof Warm And Comfortable Tactical Jacket

ZITY Shark Skin Waterproof Warm And Comfortable Tactical Jacket

Must Watch Video

Advertisement