Skip to main content

Berita Tempatan

Belasungkawa: Babak Hidup Dharma Harun, Dua Kali Terlibat Produksi Hollywood Hingga ‘Pulang’ Seorang Diri

dharma_harun

Sekilas

  • Aktor veteran Dharma Harun Al Rashid meninggal dunia pada usia 69 tahun selepas beberapa bulan dilaporkan menghadapi masalah kesihatan dan kewangan.
  • Dikenali pada era 80-an, Dharma pernah dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia dan berlakon dalam filem antarabangsa seperti Anna and the King.
  • Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur, dan jasanya dalam dunia seni tetap dikenang hingga kini.

Berita kepulangan aktor veteran Dharma Harun Al Rashid ke Rahmatullah pada usia 69 tahun malam tadi masih membekas dalam hati keluarga, kenalan dan peminat allahyarham.

Masakan tidak, Dharma diambil Sang Pencipta pulang hanya selepas beberapa bulan kisah kesihatannya mendapat liputan media massa.

Sekitar Julai lalu, bintang 80-an yang namanya tidak hanya terukir indah di persada seni tempatan ini mengaku dirinya berdepan masalah kewangan lantaran pelbagai penyakit yang dihidapi.

Sejak berita tersebut tersebar, khalayak mula mencari tahu siapa Dharma. Adakah allahyarham merupakan ‘orang penting’ dalam industri hiburan pada zamannya sehingga kisah lara hidupnya mendapat perhatian.

Jawapannya, ya. Pada era 80-an saat layar lebar dan kaca televisyen menjadi medium penting buat penonton menonton naskhah hiburan, Dharma Harun adalah salah seorang aktor yang sempat mencuri perhatian.

Pembabitan sulung dalam filem Adik Manja sebagai Cikgu Azmi pada tahun 1980 membuatkan nama Dharma menjadi sebutan. Sosok tubuh dan air wajahnya dengan senyuman manis pantas menangkap perhatian peminat.

Malah Dharma pada penampilan perdana itu juga sempat diiktiraf sehingga tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) yang pertama.

Berkat lakonan mantapnya, khidmat Dharma yang juga muncul dalam filem seperti Sikit Punya Gila, Aku Yang Berhormat dan Langit Petang sebagai pelakon juga diperlukan produksi luar sehingga ke Hollywood.

Aktor yang juga memiliki sejumlah lagu ini pernah dua kali terbabit dengan pembikinan naskhah antarabangsa ; yang salah satunya Anna and the King sebagai Noi pada tahun 1999 silam.

Memang, di tahun 2025, Dharma barangkali langsung tidak dikenali generasi kini. Sosoknya yang berubah kurus kerana menderita pelbagai penyakit termasuk bengkak jantung dan paru-paru, tiroid serta asma hanya menjadi cebisan kisah sampingan yang dibaca saat berita ‘lalu’ di platform media sosial masing-masing.

Kisah pemergiannya yang meninggal dunia seorang diri - sunyi dan sepi pada akhir hayat saat ditemui anak keduanya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, malam tadi pasti ‘ditelan zaman’ nanti.

Semua kejayaan dan kepayahan hidup di hujung usia kini menjadi kenangan dalam babak-babak hidup Dharma sebelum dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.

‘Perjalanan’ Dharma kini sudah masuk ke alam baharu sebaik allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Taman Selaseh, Kuala Lumpur pada 26 November 2025.

Meski jasadnya telah berpulang, bakti dan bakat Dharma Harun Al Rashid akan terus dikenang. Terima kasih kerana pernah bergelar anak seni yang tidak hanya pernah mewarnai dunia hiburan tetapi menaikkan taraf pelakon Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa menerusi karismamu, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid.

Must-Watch Video

Advertisement