Aktor Ben Affleck mendedahkan salah satu memori yang tidak akan dilupakan sewaktu menjalani penggambaran filem pecah panggung, Armageddon yang ditayangkan pada tahun 1998.
Menurut Affleck oleh kerana takut tidak datang ke lokasi penggambaran walaupun sedang sakit akibat keracunan makanan, dia terpaksa muntah beberapa kali sewaktu menjayakan babak penting dalam filem tersebut.
Affleck berbuat demikian kerana sedar saat itu dirinya masih baru dalam dunia lakonan dan tidak tahu jika dia boleh meminta kebenaran daripada pihak produksi untuk tidak bekerja kerana sakit.
“Waktu itu saya belum tahu jika pelakon pun berhak memohon cuti kerana sakit. Saya fikir saya tetap kena datang (walaupun sakit),” katanya seperti dilaporkan The Hollywood Reporter.
Lantas kata Affleck, dia muntah beberapa kali saat melakonkan babak ikonik memperlihatkan karakter Harry S. Stamper (Bruce Willis) mengorbankan diri lalu bertukar tempat dengan AJ Frost (Affleck) di asteroid.
“Mereka sediakan tong sampah dan saya muntah di antara rehat babak ke babak,” katanya lagi.
Walaupun melalui pengalaman kurang manis, Affleck tetap berbangga kerana telah berdampingan dengan ramai pelakon hebat dan popular seperti Willis dan Steve Buscemi.
Kejayaan filem tersebut juga telah melonjakkan namanya sebagai pelakon berpotensi besar di Hollywood pada awal kariernya.
Terdahulu, pengarah Michael Bay mendedahkan Affleck ‘sakit teruk’ semasa penggambaran namun tetap memberi komitmen yang terbaik.