Ringkasan AI
- Elfira Loy berkongsi pandangan positif tentang membuat perbandingan dari sudut seorang ibu yang uruskan anak dan rumah tanpa pembantu.
- Dia mula sedar ramai wanita mampu uruskan segalanya sendiri selepas berinteraksi dengan ibu-ibu lain.
- Elfira kini pilih untuk uruskan keluarga sendiri tanpa pembantu rumah, termasuk mandikan anak, masak, dan kemas rumah.
- Walaupun sibuk, dia masih sempat bermain pickleball, ke kafe dan bekerja.
- Elfira tekankan perbandingan itu baik jika niatnya positif dan boleh bantu kita jadi lebih optimis dan berusaha.
Pelakon, Elfira Loy berkongsi pandangannya dari sudut positif dalam membuat perbandingan, terutama perspektif seorang ibu yang menguruskan anak dan rumah tangga tanpa pembantu.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Elfira, mengakui pandangannya mula berubah selepas lebih banyak berinteraksi dengan ibu-ibu lain.
"Dulu saya pernah terdetik perasaan seperti, 'Orang lain bolehlah, dia ada pembantu, ada pemandu.'
"Tapi percayalah, semakin saya berhubung dengan ibu-ibu, saya sedar ramai wanita sebenarnya mampu melakukan segalanya sendiri. Tiada yang luar biasa bagi mereka, semuanya sudah menjadi rutin.
"Waktu itulah saya mula rasa, 'Oh, aku pun boleh buat semua ni. Aku tak perlu rasa lemah atau sedih kenapa semuanya aku kena buat sendiri," tulisnya.
Pelakon berusia 31 tahun itu turut mendedahkan dia kini berhenti mencari pembantu rumah dan memilih untuk menguruskan segala urusan keluarga sendiri.
"Saya benar-benar buat semuanya sendiri, bangun pagi mandikan anak, siapkan mereka ke sekolah, sediakan sarapan, hantar dan ambil sekolah, kemas rumah, masak, lipat baju, semuanya.
"Tapi dalam masa yang sama saya masih boleh bermain pickleball, pergi ke kafe dan bekerja," tulisnya.
Tambahnya, semua tanggungjawab itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam kalangan rakan-rakan yang juga bergelar ibu sebaliknya hanyalah rutin biasa yang mampu dilakukan oleh ramai wanita lain.
"Kenapa boleh buat? Sebab saya memang suka membandingkan untuk belajar, membandingkan cara mereka menyusun jadual dan bagaimana mereka memudahkan urusan harian," tulisnya.
Elfira turut menegaskan tidak salah untuk membuat perbandingan, asalkan niatnya ke arah yang positif dan mampu membentuk sikap yang lebih optimis.
"Tiada salahnya untuk banding, asalkan tujuannya ke arah yang positif dan menjadikan diri kita lebih optimis. Kalau kita nak jadi lebih baik, mestilah ada usaha dan rasa penat sedikit," tulisnya.
Bagi Elfira, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan kehidupan dan tidak wajar berpegang pada tanggapan bahawa hanya satu cara sahaja yang betul.
"Tiada istilah hanya satu cara sahaja. Kerana sebenarnya, ada banyak cara," tulisnya.