Penyanyi, Syamel kini tampil dengan karya terbaharunya berjudul ‘Beribu Tanda Tanya’ iaitu sebuah lagu yang penuh dengan emosi, persoalan, dan luahan jiwa tentang keresahan hati yang tidak terungkai.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim, yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit.
Advertisement
Menurut Syamel, lagu itu membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang dihantui persoalan tidak terjawab.
“Cerita mengenai lagu Beribu Tanda Tanya adalah tentang persoalan yang banyak membelenggu fikiran dan hati seseorang.
“Dia meluahkan rasa melalui nyanyian, penuh dengan harapan, kesedihan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung,” ujarnya.
Menariknya, keseluruhan proses rakaman lagu dijalankan di Voltalab Sound Studio yang terletak di Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan Edry Abdul Halim.
Lagu ‘Beribu Tanda Tanya merupakan projek usahasama antara Universal Music Malaysia dan Alternate Records, yang turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan penerbitan lagu ini.
“Lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu yang ‘mahal’ sebab saya perlu ke Manchester untuk berjumpa dengan Edry yang menetap di sana.
“Semua proses, dari rakaman hingga ke pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di Manchester.
“Pengalaman merakam lagu ini sangat ‘priceless’ sebab kami menggunakan khidmat jurutera bunyi tempatan dan studio yang penuh sejarah.
“Antara artis legenda UK seperti Oasis pernah merakamkan lagu mereka di studio yang sama. Saya rasa sangat dihormati dapat merakam ‘Beribu Tanda Tanya’ di situ,” jelasnya.
Dari segi penyampaian, Syamel juga berharap pendengar dapat menghayati sepenuhnya lirik dan melodi lagu ini.
“Lagu ini sangat unik dari segi penceritaan, ia dibina berdasarkan soalan yang diajukan dalam lirik.
“Ramai yang mungkin pernah alami situasi hubungan yang tergantung tanpa jawapan. Jadi saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa dekat dengan kisah ini.
“Saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, lagu yang orang tak pernah jemu nak dengar dan mungkin, melalui lagu ini juga, pendengar belajar bahawa kadang-kadang lebih baik kita bertanya daripada berdiam diri.
“Semoga lagu ini mekar dan terpahat di hati pendengar dan peminat saya sampai bila-bila, insya-Allah,” katanya.
‘Beribu Tanda Tanya’ turut akan menjadi lagu tema (OST) bagi drama bersiri terbaru berjudul ‘Doa Yang Terlindung’.
Dengan kekuatan vokal dan penyampaian penuh jiwa, lagu ini menjadi bukti kematangan Syamel sebagai penyanyi dan penghayat karya.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.