Sekilas
- Filem drama keluarga 'Rumah Tanpa Cahaya' mengisahkan tentang kehilangan seorang ibu dan impaknya terhadap hubungan serta rutin keluarga Qomar.
- Watak utama dibawakan oleh Ira Wibowo sebagai Nurul dan Donny Damara sebagai Qomar, yang menunjukkan pergolakan emosi selepas pemergian Nurul.
- Filem ini mengajak penonton menghargai nilai kasih sayang dan pengorbanan ibu dalam kehidupan seharian, serta menampilkan konflik keluarga yang realistik.
Kehilangan seorang ibu bukan sekadar meninggalkan ruang kosong dalam keluarga, malah mampu mengubah hubungan, rutin dan cara setiap ahli keluarga melihat kehidupan.
Persoalan itu menjadi teras filem ‘Rumah Tanpa Cahaya’, sebuah drama keluarga arahan Odi Harahap yang mengangkat kisah kehilangan, keluarga serta kasih seorang ibu yang terus hidup selepas pemergiannya.
Menampilkan Ira Wibowo sebagai Nurul dan Donny Damara sebagai Qomar, filem itu turut dibintangi Ridwan A. Ghany sebagai Samsul serta Lavicky Nicholas sebagai Azizi.

Menurut penulis skrip Deddy Mizwar, ‘Rumah Tanpa Cahaya’ tidak hanya mahu bergantung kepada elemen kesedihan, sebaliknya mengajak penonton menghargai perkara kecil yang sering dianggap biasa dalam kehidupan seharian.
“RUMAH TANPA CAHAYA tidak hanya bergantung kepada elemen kesedihan, sebaliknya mengajak penonton melihat semula perkara kecil yang sering dianggap biasa dalam kehidupan seharian.
“Makanan yang tersedia di meja, doa seorang ibu, nasihat yang kadangkala tidak didengari serta kehadiran seseorang yang hanya disedari nilainya selepas dia pergi.
“Persoalan yang cuba ditinggalkan filem ini juga cukup dekat dengan kehidupan penonton, apabila seorang ibu pergi, siapa yang akan menyatukan sebuah keluarga?
“Melalui kisah keluarga Qomar, filem ini mengingatkan bahawa sesebuah rumah bukan hanya dibina dengan dinding dan atap, tetapi turut berdiri atas kasih sayang, pengorbanan dan kehadiran insan yang menyatukan semua penghuninya,” katanya.

Dalam filem itu, Nurul bukan sekadar seorang isteri dan ibu, sebaliknya menjadi tulang belakang kepada keluarga Qomar.
Selain menguruskan keluarga, Nurul turut membantu menghidupkan warung Empal Gentong yang menjadi sumber rezeki mereka.
Lebih daripada sekadar sebuah perniagaan, warung berkenaan menjadi tempat keluarga itu berkongsi kehidupan, kasih sayang dan pelbagai kenangan.

Namun, kehidupan mereka berubah selepas Nurul meninggal dunia secara mengejut.
Pemergian Nurul menyebabkan Qomar kehilangan insan yang selama ini menjadi tempat bergantung, manakala Samsul dan Azizi mula berdepan hakikat bahawa mereka mungkin terlalu terbiasa dengan pengorbanan ibu sehingga tidak pernah benar-benar memahami nilainya.
Situasi menjadi semakin rumit apabila hubungan antara ahli keluarga mula retak, manakala warung yang menjadi sumber kehidupan mereka turut berdepan masalah.
Gandingan Ira Wibowo dan Donny Damara menjadi antara tarikan filem tersebut apabila kedua-duanya membawa watak pasangan suami isteri yang berdepan perubahan besar dalam keluarga selepas pemergian Nurul.
Menerusi watak Nurul, Ira membawakan karakter seorang ibu yang kehadirannya begitu dekat dengan kehidupan keluarga sehingga nilai sebenar pengorbanannya hanya benar-benar dirasai selepas dia tiada.

Sementara itu, Donny sebagai Qomar pula membawa watak seorang suami dan bapa yang cuba meneruskan kehidupan sambil berdepan kehilangan insan yang selama ini menjadi kekuatan keluarganya.
Kehadiran Ridwan A. Ghany dan Lavicky Nicholas sebagai Samsul dan Azizi turut menambah lapisan konflik menerusi hubungan dua beradik yang mula berubah selepas kehilangan ibu mereka.
Turut membintangi ‘Rumah Tanpa Cahaya’ ialah Dea Annisa, Galabby Thahira, Ence Bagus dan Widi Dwinanda.
Filem bergenre drama keluarga berdurasi 103 minit itu diarahkan Odi Harahap dan diterbitkan Zairin Zain menerusi Citra Sinema & SinemArt Pictures.

Naskhah berkenaan ditulis oleh Syaikhu Luthfi, Deddy Mizwar, Zairin Zain, Odi Harahap, Amiruddin Olland dan Rafi Muhammad Zuhdi.
‘Rumah Tanpa Cahaya’ yang menerima klasifikasi P12 mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 20 Ogos 2026 menerusi edaran Horizon Film Entertainment.