Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur persembahannya di majlis persandingan Bella Astillah dan Syed Saddiq berjalan lancar dengan kerjasama baik bersama pengarah muzik, Datuk Mokhzani Ismail.
- Siti hanya mengetahui majlis disiarkan secara langsung sebaik tiba di lokasi dan hanya menggunakan speaker di atas pentas tanpa ear monitor.
- Mokhzani memuji kehebatan Siti sebagai penghibur luar biasa walaupun tiada latihan terlebih dahulu sebelum persembahan secara spontan.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila persembahannya di majlis persandingan Bella Astillah dan Syed Saddiq berjalan lancar hasil kepercayaan tinggi serta kefahaman muzik yang baik antara dirinya dengan pengarah muzik, Datuk Mokhzani Ismail.
Menurut Siti, seorang maestro yang berpengalaman mampu menjangka kemungkinan yang berlaku ketika persembahan dan bersedia mengatasinya, begitu juga dengan penyanyi yang perlu memahami muzik dengan baik.
“Alhamdulillah Datuk Mokhzani, terima kasih di atas iringan orkestra yang hebat. Saya percaya bila adanya kepercayaan yang tinggi (instinct) serta kefahaman muzik yang baik, ia akan memudahkan sesuatu kerja.
“Maestro yang hebat, dia boleh baca apa kebarangkalian yang berlaku dan bersedia untuk mengatasinya, begitu juga dengan penyanyi.
Dalam perkongsian sama, Siti turut mendedahkan dia hanya mengetahui majlis berkenaan disiarkan secara langsung sebaik tiba di lokasi.
“Alhamdulillah, kita berjaya lakukan dan saya cuma perlukan speaker yang jelas di atas pentas sahaja sebab saya tak pakai ear monitor,” katanya.
“Saya pula bila sampai baru tahu majlis disiarkan secara langsung. Saya minta ini saja, selebihnya tawakal,” tulisnya berserta emoji ketawa dan malu.
Terdahulu, Mokhzani menyifatkan Siti sebagai seorang penghibur luar biasa yang memiliki kelebihan dari segi pendengaran muzik, tona suara dan kawalan vokal.
Mokhzani berkata, beliau sudah terbiasa mengiringi penyanyi secara spontan tanpa menghadiri latihan terlebih dahulu. Namun, pengalaman mengiringi Siti pada majlis persandingan Bella dan Syed Saddiq memberikan cabaran tersendiri kerana penyanyi itu tidak menjalani latihan seperti kebanyakan penyanyi lain.
Menurutnya, beliau menerima makluman bahawa Siti akan hadir pada malam majlis untuk terus membuat persembahan, justeru skor muzik disediakan mengikut format biasa.