Sekilas
- Dai Fuad, yang terkenal dengan watak Pa dalam KUDRAT 1968: High Council, sebenarnya memulakan karier seni sebagai penyanyi sejak 2018 sebelum menyertai TIP Band pada 2023.
- TIP Band terbentuk hasil gabungan beberapa individu dan dibimbing oleh mentor mereka, Adi Priyo dari kumpulan 6ixth Sense, yang membantu memberi nafas baru kepada lagu Ratnaku ciptaan Datuk M. Nasir.
- Dai berharap populariti yang diperoleh melalui lakonan dalam KUDRAT 1968 dapat membantu TIP Band berkembang dan menarik lebih ramai pendengar muzik mereka.
Selepas mencuri perhatian menerusi lakonannya sebagai Pa dalam drama dan filem KUDRAT 1968: High Council, pelakon Dai Fuad rupa-rupanya mempunyai bakat lain yang mungkin tidak diketahui ramai.
Bukan sekadar bergelar pelakon, Dai turut aktif dalam bidang nyanyian dan sebenarnya memulakan perjalanan seninya sebagai penyanyi sebelum melebarkan sayap ke dunia lakonan.
Menurut Dai atau nama sebenarnya Muhammad Fuad bin Abd Rahman, dia mula menceburi bidang nyanyian secara solo pada 2018 sebelum menjadi vokalis bagi kumpulan muzik yang diberi nama TIP Band pada 2023.
“Saya mula karier saya dengan menyanyi dulu sebenarnya kemudian barulah ke adah lakonan. Saya mula menyanyi 2018.
“Ketika itu, band yang saya bersama ini iaitu TIP band belum ada lagi. TIP tu baru ada tiga tahun,“ katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai penubuhan TIP Band, Dai menjelaskan kumpulan itu terbentuk menerusi perancangan basis band berkenaan yang menggabungkan beberapa individu untuk bergerak bersama dalam bidang muzik sebelum dimantapkan oleh mentornya dalam bidang nyanyian iaitu Adi Priyo, vokalis kumpulan 6ixth Sense.
“Oh, bukan keputusan saya (penubuhan TIP) tetapi itu adalah keputusan basis band yang menggabungkan beberapa individu.
“Dan yang membuatkan band ini kekal hingga ke hari ini adalah dengan bantuan cikgu saya sendiri iaitu Adi Priyo.
“Dia adalah cikgu serta mentor saya dalam bidang nyanyian dan dialah yang membantu menyorakkan lagi band kami ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Dai bersama TIP Band tampil dengan single berjudul Ratnaku, lagu ciptaan Datuk M. Nasir yang sebelum ini pernah dinyanyikan oleh Roy.
Menurut Dai, lagi tersebut diberi nafas baharu oleh Adi Priyo, sekali gus menjadi antara usaha terbaharu Dai dan kumpulannya untuk mengembangkan perjalanan mereka dalam industri muzik.
“Saya dan TIP baru rilis lagu Ratnaku yang dihasilkan oleh Datuk M. Nasir dan dinyanyikan oleh abang Roy namun diberi nafas baru oleh Adi Priyo.
“Alhamdulillah sejak beberapa hari dikeluarkan, lagi tersebut mendapat sambutan yang sangat-sangat memberangsangkan, sangat baik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dai tidak menafikan popularitinya menerusi KUDRAT 1968: High Council memberikan kesan positif terhadap perjalanan muziknya.
Malah, dia berharap perhatian yang diterima menerusi bidang lakonan dapat membantu TIP Band terus berkembang dan menarik lebih ramai pendengar.
“Saya percaya semua datang juga daripada berkat KUDRAT 1968. Jadi, saya berharap agar TIP Band akan terus berkembang,” tambahnya.
Sementara itu, Dai bakal tampil menerusi filem KUDRAT 1968: High Council yang akan ditayangkan di pawagam bermula 29 Oktober ini.
Selain Dai, filem arahan Zulaikha Zakaria ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.