Skip to main content

Hiburan

Bukan Tahun Ini, Erra Fazira Nafi Sudah Tetapkan Tarikh Kahwin - “Belum Ada Perbincangan Serius …”

erra fazira

Pelakon jelita, Erra Fazira menafikan dakwaan kononnya dia bakal melangsungkan perkahwinan bersama usahawan, Ezwan Zain, pada bulan Oktober ini 

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, masih belum ada sebarang tarikh perkahwinan ditetapkan memandangkan keluarga kedua-dua belah pihak juga belum berbincang secara serius.

Advertisement

“Saya tak boleh nak cakap ada atau tidak sebab tak adil. Malah keluarga saya sendiri pun belum tahu, begitu juga dengan pihak dia.

“Kalau ada orang yang kata ia menuju ke arah itu, saya rasa ia lebih kepada angan-angan bersama sahaja.

“Kalau saya cakap ‘ya, kami sedang merancang’, nanti kecil hati pula orang di rumah sebab belum sampai ke tahap itu,” jelas Erra.


Erra berkata demikian ketika ditemui pada program riadah bersama media yang berlangsung di Golden Palm Tree, Sepang, semalam.
 

Mengulas lanjut mengenai khabar angin pihak tertentu mahu menaja perkahwinannya, Erra mengakui perkara itu memang berlaku namun tiada sebarang keputusan boleh dibuat selagi tiada perbincangan rasmi keluarga.

 

“Memang ada orang approach nak menaja. Saya ambil maklum saja. Bila tiba masa kami betul-betul bersedia, ada tarikh, keluarga dah lock, barulah saya akan hubungi mereka semula.
 

“Buat masa ini, keluarga hanya tahu saya berkawan tetapi belum sampai ke tahap bincang pasal tarikh atau adat-adat lain.

“Tak dinafikan hubungan saya dengan dia semakin positif, tapi nak sampai tahap tarikh kahwin itu, belum lagi,” katanya.

Tambah Erra, sekiranya ada jodoh, dia tidak berhasrat mengadakan majlis yang besar sebaliknya lebih memilih konsep sederhana dan intim.
 

“Saya terbuka saja. Kalau keluarga setuju tahun ini, saya ikut sahaja. Kami pun bukan nak buat majlis besar-besaran. Cukuplah yang sederhana tetapi meriah dan bermakna.
 

“Saya dah lalui semua itu, dia pun sama. Jadi kali ini kami nak yang ringkas dan chill sahaja. Apa yang lebih penting ialah kehidupan selepas itu, bukan majlisnya,” jelas Erra lagi.
 

Ditanya sama ada dia akan berkongsi tarikh majlis sekiranya sudah ditetapkan, Erra bagaimanapun memilih untuk bersikap lebih privasi.
 

“Kalau dah lock tarikh nanti, tak adalah saya nak war-warkan besar-besaran. Siapa yang tahu, tahulah. Saya rasa benda itu biarlah orang-orang muda yang rasa, bukan saya lagi,” katanya.
 

Sebelum ini, tular klip video memaparkan pelantun lagu Hanya Di Mata itu muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan.

Biarpun bukan pertama kali mereka muncul bersama, kesudian Erra mempromosikan kafe milik Ezwan menimbulkan tanda tanya mengenai status hubungan mereka. 

Malah, Erra kini juga dilihat semakin terbuka berkongsi soal keakraban berkenaan yang menurutnya hadir seiring dengan faktor kematangan.

Awal tahun ini, nama Erra kembali menjadi bualan selepas memuat naik ucapan berbaur romantis yang dipercayai ditujukan kepada seseorang di media sosial.


 

Must-Watch Video

Advertisement