Sekilas
- Hafiz Hamidun menafikan kunjungannya ke AlUla, Arab Saudi untuk penggambaran muzik video Salawat Badriyah adalah untuk mengagungkan mana-mana kaum atau tinggalan sejarah tertentu.
- Beliau memilih AlUla kerana keindahan alam, sejarah dan tamadun yang luar biasa sebagai latar visual untuk karya yang memuji Rasulullah SAW.
- Penggambaran muzik video ini mendapat sokongan daripada Visit Saudi dan Hafiz berharap orang ramai menilai karya berdasarkan mesej selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, bukan lokasi penggambaran.
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun menafikan kunjungannya ke AlUla, Arab Saudi untuk penggambaran muzik video Salawat Badriyah adalah untuk mengagungkan mana-mana kaum atau tinggalan sejarah tertentu.
Bagaimanapun, dia memahami sekiranya ada pihak yang mempunyai tanggapan tersendiri apabila mendengar nama AlUla, terutama kerana kawasan tersebut sering dikaitkan dengan kisah sejarah dan peringatan mengenai kaum terdahulu.
“Saya juga faham mungkin ada yang mempunyai persepsi tertentu apabila mendengar nama AlUla, terutama kerana terdapat kisah-kisah sejarah dan peringatan yang dikaitkan dengan kawasan kaum terdahulu.
“Tetapi AlUla merupakan sebuah wilayah yang sangat luas, dan tidak wajar kita menganggap keseluruhan AlUla sebagai satu kawasan yang dilarang untuk dikunjungi. Ada lokasi-lokasi sejarah tertentu yang mempunyai konteksnya tersendiri, sedangkan AlUla secara keseluruhannya merangkumi kawasan alam semula jadi, penempatan, warisan dan pelbagai lokasi lain.
“Malah, tujuan saya ke sana bukan untuk mengagungkan mana-mana kaum atau tinggalan tertentu. Kami datang untuk berkarya dan menampilkan keindahan ciptaan Allah sebagai latar kepada sebuah karya yang memuji dan berselawat kepada Rasulullah SAW.
“Bagi saya, ada sesuatu yang sangat indah apabila Salawat Badriyah dapat divisualkan di bumi Arab dengan landskap gurun, gunung-ganang dan suasana yang membawa kita kembali menghayati perjalanan sejarah Islam,” katanya.
Justeru, Hafiz berharap orang ramai dapat menilai MV berkenaan berdasarkan mesej yang ingin disampaikan, bukan semata-mata lokasi penggambarannya.
Katanya, AlUla hanyalah latar visual, manakala inti pati karya tersebut kekal tertumpu kepada selawat, kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta kebesaran Allah melalui keindahan ciptaan-Nya.
“Jadi saya berharap orang melihat muzik video ini daripada perspektif tersebut. AlUla hanyalah latarnya; mesej utama tetap selawat, kecintaan kepada Rasulullah SAW dan kebesaran Allah melalui keindahan ciptaan-Nya,” jelas Hafiz.
Dalam pada itu, Hafiz berkata pemilihan AlUla dibuat kerana dia mahu membawa karya Salawat Badriyah ke sebuah lokasi yang mempunyai kombinasi keindahan alam, sejarah dan tamadun yang luar biasa.
Lebih menarik, penggambaran MV tersebut turut mendapat sokongan serta kerjasama daripada Visit Saudi yang banyak membantu dalam menjayakan produksi berkenaan.
“Saya memilih AlUla, Arab Saudi sebagai lokasi penggambaran muzik video Salawat Badriyah kerana saya mahu membawa karya selawat ini ke sebuah latar yang mempunyai keindahan alam, sejarah dan tamadun yang sangat luar biasa.
“AlUla hari ini merupakan sebuah destinasi pelancongan yang dibangunkan dan diperkenalkan kepada dunia oleh Arab Saudi. Penggambaran kami juga mendapat sokongan dan kerjasama daripada Visit Saudi, yang banyak membantu dalam menjayakan produksi ini,” katanya lagi.