Sekilas
- Konsert Black On White Cromok-Barbarik akan berlangsung pada 27 Jun di IdeaLive, Petaling Jaya, menampilkan gabungan dua kumpulan rock dan metal terkenal, Cromok dan Barbarik.
- Konsert ini menampilkan kolaborasi eksklusif serta persembahan single terbaru dari kedua-dua kumpulan dengan konsep digital sepenuhnya menggunakan teknologi No Noise Digital Stage.
- Tiket dijual bermula RM175 hingga RM998 untuk pakej VIP, menjadikan acara ini salah satu konsert muzik tempatan yang paling dinanti tahun ini.
Peminat muzik rock dan metal tempatan bakal disajikan dengan sebuah konsert yang dinanti-nantikan apabila dua nama besar, Cromok dan Barbarik, bergabung dalam konsert Black On White Cromok-Barbarik.
Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive, 3 Damansara, Petaling Jaya, sekali gus menghimpunkan dua kumpulan berpengaruh yang mempunyai identiti dan legasi tersendiri dalam industri muzik tanah air.
Gabungan ini dijangka mencipta pengalaman berbeza apabila kedua-dua kumpulan tampil dengan gaya dan kekuatan masing-masing, namun berkongsi semangat yang sama dalam muzik.

Dianjurkan oleh KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi medan pertemuan dua generasi serta dua aliran muzik yang berbeza.
Lebih menarik, penonton turut bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik, selain persembahan single terbaharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.
Gitaris Barbarik, Jo, menyifatkan konsert ini sebagai satu momen penting buat mereka dan peminat.
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Konsert ini menjadi pertemuan dua legasi yang sudah lama beraksi dalam liga masing-masing. Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza.
“Kami mahu beri pengalaman yang luar biasa buat peminat agar konsert ini menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Tambah Jo, peluang untuk berkongsi pentas dengan Cromok juga membuka ruang kepada eksplorasi baharu dalam persembahan mereka.
“Peminat akan nampak sisi berbeza daripada kami, termasuk kolaborasi yang mungkin mereka tidak pernah bayangkan sebelum ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Karl daripada Cromok melihat konsert ini sebagai satu langkah ke hadapan dari segi inovasi persembahan muzik tempatan.
“Kami tampil dengan konsep digital sepenuhnya menerusi pendekatan No Noise Digital Stage, menjadikan kami satu-satunya kumpulan di Malaysia yang mempersembahkan persembahan secara 100 peratus digital.
“Tiada penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas, hanya satu mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan.
“Penggunaan teknologi digital ini membolehkan pemantauan audio yang lebih jelas, sekali gus meningkatkan kualiti persembahan, menghasilkan bunyi yang lebih bersih dan memberikan pengalaman yang jauh lebih baik kepada para penonton,” katanya.
Selain itu, konsert ini turut menjadi platform untuk mengetengahkan inovasi serta sokongan terhadap penggunaan teknologi tempatan dalam industri muzik.
Bagi yang berminat, konsert ini menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 hingga RM998 bagi pakej VIP, yang boleh didapati menerusi platform jualan tiket yang terlibat.
