Sekilas
- Uyaina Arshad teruja dengan kualiti produksi KUDRAT 1968: High Council yang dianggap seperti menonton filem dengan suasana tahun 1960-an yang kuat.
- Konsep beberapa episod panjang sebelum filem layar lebar mendapat pujian kerana membina jalan cerita dan menarik minat penonton mengikuti perkembangan watak.
- Uyaina bangga KUDRAT 1968 diarahkan oleh pengarah wanita dan berharap lebih ramai wanita diberi peluang menerajui projek besar dalam industri perfileman dan televisyen.
Pelakon, Uyaina Arshad meluahkan rasa teruja selepas menonton episod pertama KUDRAT 1968: High Council.
Menerusi hantaran di Threads, Uyaina mengakui kagum dengan kualiti yang dipersembahkan seolah-olah menonton sebuah filem.
“Baru sahaja tengok KUDRAT 1968 malam tadi. Gila gempaklah, OMG!
“Sumpah, saya rasa dah macam tengok filem. ‘Power’. Kualiti produksi dia memang ‘next level’. Boleh rasa ‘vibes’ tahun 1960-an itu,” katanya.
Uyaina turut memuji konsep KUDRAT 1968 yang menampilkan beberapa episod berdurasi panjang sebelum kisahnya diteruskan menerusi filem di layar lebar.
Menurutnya, pendekatan tersebut cukup menarik kerana mampu membina jalan cerita serta membuatkan penonton lebih tertarik untuk mengikuti perkembangan setiap watak sebelum dibawa ke pawagam.
“Saya suka sangat konsep yang Astro Shaw gunakan ini. Beberapa episod panjang, kemudian BOOM! Baru keluar filem.
“Bagi saya, ia satu cara yang sangat menarik untuk membina cerita dan membuatkan penonton terus tertarik sebelum kisah ini dibawa ke layar lebar,” ujarnya.
Malah, Uyaina yang sememangnya mengikuti Projek: High Council (PHC) dan Kahar turut mengakui sudah biasa dengan dunia yang dibangunkan dalam karya-karya tersebut.
“Saya memang mengikuti PHC dan Kahar. Jadi, dunia yang mereka cipta ini memang ‘well-cooked’. Lepas itu, boleh kita bercakap tentang lakonan? Kenapa semua orang hebat betul?
“Siapa watak kegemaran korang? Kegemaran peribadi saya ialah Piji. Sakit betul dia itu sampai ke hati,” katanya.
Selain itu, Uyaina turut menzahirkan rasa bangga apabila mengetahui KUDRAT 1968 diarahkan oleh pengarah wanita.
Uyaina turut menyuarakan harapan agar lebih ramai wanita diberi peluang untuk menerajui projek-projek besar dalam industri perfileman dan televisyen.
“Saya juga nak bercakap tentang hakikat bahawa KUDRAT 1968 diarahkan oleh seorang wanita! Saya suka melihat wanita berada di belakang kamera, terutama apabila menerajui projek berskala besar dan genre seperti ini.
“Lebih-lebih lagi apabila hasilnya begitu padu. Lebih ramai pengarah wanita. Lebih ramai pembikin filem wanita. Lebih ramai wanita yang membuat keputusan. Kurangkan jurang itu,” tambahnya.
Sekadar info, KUDRAT 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Naskah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council sudah mula menemui peminat pada 11 September.
Sumber: Threads