Sekilas
- Dai Syed, pendakwah selebriti, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Shah Alam daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019 selepas penghakiman majoriti 2-1.
- Mahkamah Rayuan mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekaligus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan sebelum ini.
- Dai Syed dan isterinya dilihat sebak dan menangis selepas keputusan itu dibacakan, menandakan berakhirnya kes yang bermula sejak 2019 itu.
Pendakwah selebriti, Dai Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Keputusan itu dibuat menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid. Walau bagaimanapun, Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid berbeza pendapat dan menentang keputusan tersebut.
Ketika membacakan keputusan, Azman berkata pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Sabitan terhadap perayu tidak selamat, rayuan perayu dibenarkan. Hukuman pemenjaraan 10 tahun tiga sebatan oleh mahkamah tinggi diketepikan," kata Azman ketika membaca penghakimannya.
Sementara itu, Dai Syed yang berada di kandang tertuduh dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis usai keputusan itu dibacakan manakala isterinya, Hana Ismail turut dilihat menangis sambil meraup wajahnya.
Pada 10 Disember 2020, Dai Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini.
Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan Dai Syed selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Dai Syed untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.
Pada 30 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap Dai Syed. Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara pada hari sama.
Selepas menjalani hukuman selama 21 hari di Penjara Kajang, Dai Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu pendengaran rayuan utamanya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.
Sumber: Berita Harian