Sekilas
- Datuk Azril Mohd Radzi, usahawan V’Asia, bersedia untuk ceburi dunia hiburan selepas lebih 20 tahun dalam perniagaan.
- Azril merancang untuk fokus dalam bidang nyanyian dan pengacaraan, sambil mengakui cabaran sebagai individu yang kurang dikenali dalam industri hiburan.
- Dia juga sedia menghadapi kritikan yang mungkin datang selepas serius dalam bidang hiburan, berdasarkan pengalaman lalu.
Selepas lebih dua dekad membina empayar perniagaan, usahawan Datuk Azril Mohd Radzi kini bersedia untuk membuka lembaran baharu dalam dunia hiburan.
Pengasas jenama V’Asia itu tidak menolak kemungkinan untuk mengikut jejak langkah beberapa usahawan lain seperti Datuk Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida yang berjaya menggabungkan perniagaan dengan industri hiburan.
Menurut Azril, minat terhadap bidang tersebut sebenarnya sudah lama wujud, namun hanya kini dia merasakan masa yang sesuai untuk kembali aktif.
“Sebenarnya, saya dulu pernah terlibat dalam dunia peragaan dan pengacaraan. Sekarang bisnes dah okey (stabil), saya rasa macam nak focus balik kepada minat yang sudah lama terpendam.
“Seiring dengan peredaran zaman, saya rasa sekarang ini peluang yang ada untuk ceburkan diri dalam industry,” katanya kepada Gempak.
Azril ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya baru-baru ini.
Tidak menafikan pengaruh rakan-rakan dalam industri, Azril mengakui perkembangan semasa turut mendorongnya untuk tampil ke hadapan.
“Betul dan sebenarnya, saya merupakan individu yang lama berniaga selalu keluar TV je (offline). Jadi saya nak buat kemunculan untuk terlibat dalam bidang ini.
“Supaya dapat tangkap audiens yang baharu. Tapi saya akui benda ini sangat mencabar sebab saya ‘orang offline’, hampir 20 tahun tapi kurang dikenali. Saya dah bersedia nak menonjol selepas ini,” jelasnya.
Berkongsi perancangan, Azril menyatakan dua cabang utama yang ingin diterokainya adalah nyanyian dan pengacaraan.
“Modeling tak boleh sebab saya dah tua (ketawa). Tapi ada sahaja job (modeling) yang saya buat sebelum ini.
“Mungkin saya lebih minat dalam bidang pengacaraan kot,” katanya.
Dalam masa sama, Azril turut sedar bahawa penglibatan dalam dunia hiburan tidak lari daripada kritikan, namun dia kini lebih bersedia untuk menghadapinya.
“Saya pun pernah dapat kecaman sebelum ini tapi saya rasa waktu itu belum bersedia dan tak biasa.
“Saya percaya selepas ini kalau dah serius dalam bidang (hiburan), semua itu (kecaman) adalah perkara yang kita kena hadap dan terima,” ujarnya.
Terdahulu, Azril pernah menjadi perhatian apabila menerima kritikan netizen susulan kenyataannya mengenai senarai penyumbang zakat perniagaan tertinggi yang dikeluarkan Lembaga Zakat Selangor (LZS).