Sekilas
- Aina Abdul terus mencuri perhatian antarabangsa selepas menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok walaupun tidak bergelar juara.
- Seorang saintis Austria secara spontan mengenali Aina Abdul ketika mengetahui individu itu berasal dari Malaysia, menunjukkan impak besar penyanyi itu di luar negara.
- Aina menduduki tempat keempat daripada 11 negara peserta dengan lagu Bluest Sky, dan mendapat pujian serta sokongan hangat daripada netizen Malaysia.
Meskipun tidak bergelar juara, impak penyanyi dan komposer, Aina Abdul selepas menyertai pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand baru-baru ini terus dirasai.
Bukan sahaja menerima pujian daripada penggiat muzik dan guru vokal antarabangsa, malah pelantun lagu Bluest Sky itu turut meraih perhatian serta peminat baharu dari luar negara.
Terbaharu, seorang individu meluahkan rasa bangga apabila nama Aina Abdul secara tidak disangka menjadi topik perbualan ketika dia menghadiri sesi temu bual secara dalam talian bersama sebuah makmal yang berpangkalan di Austria.
Menerusi perkongsian di Threads, individu yang dikenali sebagai @roths_weyy itu mengakui terkejut apabila seorang saintis dari negara berkenaan secara spontan bertanyakan mengenai Aina sebaik sahaja mengetahui dia berasal dari Malaysia.
“Secara rawak, tadi saya menghadiri temu bual bersama sebuah makmal di Austria. Kemudian, saya menyebut bahawa saya berasal dari Malaysia sebelum dia berkata, ‘Oh! Awak kenal Aina Abdul? Persembahannya di Eurovision memang hebat!’
“Aina! Malah seorang saintis dari Austria pun mengenali awak tau! Memang lain macam!” tulisnya.
Dalam pada itu, Roths turut mengakui pengalaman tersebut membuatkan dirinya berasa bangga sebagai rakyat Malaysia apabila mengetahui bakat anak seni tempatan mendapat perhatian sehingga ke luar negara.
“Terus hilang rasa gementar untuk membuat pembentangan tadi. Apa yang boleh saya katakan, saya memang rasa bangga,” tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata meluahkan rasa bangga dengan impak dibawa Aina menerusi penyertaannya dalam pertandingan berkenaan.
“Impak daripada Eurovision Asia 2026. Walaupun berada di tempat keempat, Aina dan Bluest Sky tetap mendunia. Impaknya sangat besar!”
“Ya, di One Forum Bangkok, semua orang memberitahu perkara sama kepada Aina Abdul. Persembahannya memang hebat.”
“Alhamdulillah. Setiap perkara yang berlaku pasti ada kesan dan impaknya tersendiri. Banyak lagi kejayaan menanti Aina.”
“Betul, kita sebagai rakyat Malaysia sudah menang di mata dunia. Aina mendunia!,” komen netizen.
Untuk rekod, Aina berjaya menduduki tempat keempat daripada 11 negara peserta dalam pertandingan sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 selepas mengumpul sebanyak 152 markah menerusi lagu Bluest Sky.