Sekilas
- Mahkamah menolak saman bekas pemain NFL Matt Kalil terhadap bekas isteri dan model Haley Kalil berhubung kenyataan mengenai kehidupan seks mereka semasa berkahwin.
- Haley mendedahkan isu saiz alat sulit Matt yang menjadi punca perceraian mereka dalam siaran langsung Twitch, menyebabkan Matt memfailkan tuntutan pencerobohan privasi.
- Hakim memutuskan kenyataan Haley adalah sebahagian daripada pengalaman peribadi yang berkepentingan awam, namun pasukan peguam Matt merancang untuk membuat rayuan.
Model dan pempengaruh Haley Kalil menarik perhatian selepas saman yang difailkan bekas suaminya, bekas pemain NFL Matt Kalil terhadapnya ditolak oleh mahkamah.
Saman itu berpunca daripada kenyataan Haley mengenai kehidupan seks mereka ketika masih bergelar suami isteri, termasuk pendedahan mengenai saiz alat sulit Matt yang didakwanya menjadi antara faktor utama perceraian mereka.
Pada 17 September lalu, Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat, Patrick J. Schiltz meluluskan permohonan Haley untuk menolak saman tersebut. Kes itu ditolak dengan prejudis, bermakna tuntutan sama tidak boleh difailkan semula di mahkamah berkenaan.
Kontroversi itu bermula selepas Haley menyertai siaran langsung Twitch bersama pencipta kandungan Marlon Garcia pada November 2025.
Ketika ditanya mengenai perkahwinan dan perceraiannya, Haley berkongsi mengenai masalah hubungan intim yang dihadapinya bersama Matt.
Dalam perbualan itu, Haley membuat perbandingan grafik mengenai saiz alat sulit bekas suaminya dengan dua tin minuman Coke yang disusun bertindih.
Menurut Haley, keadaan tersebut menyebabkan mereka berdepan masalah ketika melakukan hubungan seks dan mereka sudah mencuba pelbagai cara untuk mencari penyelesaian, termasuk mendapatkan bantuan doktor serta ahli terapi.
Kenyataan Haley kemudian menjadi tular dan mendapat perhatian ramai sehingga Matt memfailkan saman pada Januari lalu atas dakwaan pencerobohan privasi dan pengayaan tidak adil. Matt mendakwa pendedahan itu menyebabkan dirinya menjadi bahan ejekan, selain memberi kesan kepada keluarganya.
Namun, mahkamah berpandangan Haley membuat kenyataan tersebut ketika menceritakan pengalaman hidupnya sendiri, khususnya mengenai perkahwinan dan perceraian mereka.
Dalam penghakimannya, Schiltz menjelaskan kenyataan Haley perlu dilihat dalam konteks keseluruhan temu bual kerana dia sedang bercerita mengenai kehidupannya, perkahwinannya dan sebab hubungan itu berakhir.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa kedua duanya merupakan figura dikenali ramai. Matt mempunyai profil awam menerusi kerjayanya dalam NFL, manakala Haley pula merupakan model dan pencipta kandungan yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial.
Hakim akhirnya memutuskan kenyataan Haley mengenai kehidupan intim mereka mempunyai kaitan dengan kisah perkahwinan serta pengalaman peribadinya yang dianggap sebagai perkara berkepentingan awam dari sudut undang undang. Atas alasan itu, tuntutan pencerobohan privasi Matt ditolak.
Selepas keputusan diumumkan, Haley meluahkan rasa lega dan berharap keputusan itu memberi keyakinan kepada wanita untuk berkongsi pengalaman hidup mereka sendiri.
Bagaimanapun, pertikaian mereka mungkin belum berakhir apabila pasukan peguam Matt memaklumkan mereka merancang untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Haley dan Matt berkahwin pada 2015 sebelum bercerai pada 2022. Matt merupakan pilihan keempat keseluruhan dalam NFL Draft 2012 dan pernah beraksi bersama Minnesota Vikings, Carolina Panthers serta Houston Texans sebelum bersara pada 2019.
Haley pula pernah bergelar Miss Minnesota USA dan menjadi model Sports Illustrated sebelum membina kerjaya sebagai pencipta kandungan menggunakan nama Haley Baylee.
Sumber: People