Sekilas
- Pelawak Dewa Arteh berkongsi luahan emosi mengenai arwah bapanya, pelawak dan pelakon terkenal Mr. Os, yang menjadi inspirasi dalam kerjayanya.
- Dewa akhirnya merealisasikan impian arwah bapanya dengan menceburi bidang seni walaupun sebelum ini pernah menolak kerana kurang keberanian.
- Nama kumpulan Deroyan yang digunakan Dewa dalam Muzikal Lawak Superstar diambil sempena nama arwah bapanya, yang meninggal dunia pada 2016 akibat kanser paru-paru.
Pelawak, Dewa Arteh menyorot perhatian apabila berkongsi luahan penuh emosi mengenai bapanya yang pelawak dan pelakon terkenal, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr. Os.
Menerusi Threads, Dewa atau nama sebenarnya Mohd Hafizul Mohd Yusof memaklumkan bahawa dia akhirnya berjaya merealisasikan impian arwah ayahnya yang mahu melihat dirinya dalam bidang seni.
Kongsi Dewa, dia sebelum ini pernah menolak hasrat tersebut kerana tidak mempunyai keberanian.
“Kalau Abah ada lagi, adik nak Abah tahu yang adik dah masuk industri seni macam Abah.
“Maafkan adik sebab waktu Abah minta adik masuk industri seni dulu adik tak berani, sekarang adik dah tunaikan,” kongsinya,
Dalam masa yang sama, Dewa yang meluahkan rasa bangga dengan Mr. Os berkongsi bahawa nama kumpulan Deroyan yang digunakannya sewaktu menyertai program Muzikal Lawak Superstar musim keempat diambil bersempena arwah bapanya itu.
“Ini Abah hebat saya, bangga dengan Abah.
“Satu hari adik dengan Has nak jadi superstar macam Abah, nama kumpulan Deroyan tu dapat dari Abah. Rindu Abah,” tulisnya.
Menerusi perkongsian yang sama, Dewa turut memuat naik beberapa foto memaparkan kejayaan Mr. Os ketika memenangi program Maharaja Lawak Mega.
Untuk rekod, Allahyarham Mr Os menghembuskan nafas terakhir pada 8 April 2016 akibat kanser paru-paru.
Sumber: Threads