Sekilas
- Nurel Baharin tidak menganggap Zarif Ghazzi sebagai pesaing walaupun mereka di bawah pengurusan sama dan berasa bangga dengan pencapaian Zarif.
- Dia percaya setiap orang ada rezeki masing-masing dan sentiasa menyokong kejayaan rakan seperjuangannya itu tanpa rasa kecil hati.
- Nurel dan Zarif mempunyai hubungan akrab seperti adik-beradik dan saling membantu antara satu sama lain dalam kerjaya mereka.
Pelakon, Nurel Baharin tidak pernah menganggap rakan seangkatannya, Zarif Ghazzi sebagai pesaing meskipun mereka berada di bawah pengurusan yang sama.
Sebaliknya, Nurel mengakui berasa bangga dan gembira melihat pencapaian Zarif yang disifatkan sebagai hasil usaha keras pelakon itu selama ini.
“Saya gembira dengan apa yang dia kecapi sekarang kerana saya tahu bagaimana usahanya selama ini. Saya juga sangat mengenali Zarif. Sebagai seorang kakak, saya rasa sangat gembira apabila melihat orang hebat yang berada di bawah pengurusan sama dengan saya berjaya mencapai sesuatu.
“Saya bersyukur melihat kedudukan dia sekarang. Malah, saya semakin bersemangat untuk belajar daripadanya. Saya tidak pernah menganggap dia sebagai saingan walaupun kami berada di bawah satu pengurusan. Rezeki masing-masing berbeza.
"Saya sentiasa percaya setiap orang mempunyai rezeki tersendiri. Sekarang ini mungkin rezeki dia sedang berada di tahap ini, jadi sebagai kawan, kita perlu menyokongnya,” katanya.
Tambah Nurel, dia tidak pernah berasa kecil hati atau bimbang kejayaan Zarif akan mengubah layanan rakan seperjuangannya itu terhadap dirinya.
Jelasnya, hubungan mereka sangat akrab dan masing-masing sentiasa memberikan sokongan serta bantuan antara satu sama lain.
“Saya tidak pernah kecil hati atau terfikir dia akan melayan saya dengan cara berbeza selepas mencapai kejayaan. Saya sangat mengenali Zarif Ghazzi.
“Hubungan kami seperti adik-beradik sangat kuat dan kami sentiasa saling menyokong. Dia juga selalu membantu saya, begitu juga sebaliknya,” ujarnya.
Untuk info, Nurel bakal muncul dalam filem ‘Kacau’ bergandingan dengan Idan Aedan dan ramai lagi yang bakal ditayangkan pada 12 November ini.