Sekilas
- Didie Alias mengakui sudah tiga bulan tidak berhubungan dengan sahabat baiknya, Amyza Aznan, dan menyerahkan penjelasan kepada Amyza mengenai keadaan sebenar.
- Didie merasa sedih kerana hubungan mereka yang rapat kini renggang, namun dia memilih untuk tidak campur tangan dalam urusan peribadi Amyza lagi.
- Walaupun begitu, Didie tetap positif dan tidak serik untuk membantu orang lain, malah gembira melihat Amyza tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Ke-38.
Lebih kurang tiga bulan pengacara dan pelakon, Didie Alias tidak berhubungan dengan sahabat baiknya yang juga pelakon Amyza Aznan.
Tidak dapat menyorokkan perasaan sedih atas kekeruhan yang berlaku, Didie bagaimanapun berkata Amyza lebih wajar untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Saya agak kecewa, tetapi tidak mengapa. Mungkin dia (Amyza) ada jawapannya sendiri dan saya rasa biarlah dia yang menjawab mengenai apa yang sedang berlaku sekarang.
“Saya sedih sebab kami sudah macam darah daging. Jadi, apabila kita bercakap dan kita beri nasihat, tapi kita pula dikatakan macam terlalu sibuk mengambil tahu hal orang, mungkin ada yang membenci saya.
“Bagi saya, saya sudah buat sehabis baik dan cuba membantu sehabis baik. Keputusan di tangan dia.
“Jadi, saya terpaksa tarik ‘handbrake’, maksudnya urusan berkaitan anak, suami dan keluarganya, biarlah dia uruskan sendiri. Saya tidak mahu ambil tahu lagi,” katanya kepada Gempak.
Didie berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-38, di Ombak KLCC, pada Sabtu.
Didie berkata, dia sebaik-baiknya enggan mengulas lebih lanjut kerana bimbang kenyataannya boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Bagi perkara berkaitan dia, rasanya lebih baik dia jawab sendirilah dengan rakan media. Kalau tanya saya pun, jawapan ada pada dia bukan pada saya. Dia yang lebih tahu,” katanya.
Pun begitu, Didie mengakui tiada perasaan serik wujud dalam dirinya, untuk membantu insan lain yang memerlukan.
“Saya okey saja dan tetap teruskan. Sebenarnya dengan semua orang, saya okey.
“Malah, saya seronok melihat dia juga tercalon dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular di ABPBH38,” katanya.
Sebelum ini, Didie sering dilihat berada di sisi Amyza, terutama ketika sahabatnya itu melalui fasa sukar selepas kehilangan anak sulungnya, Andre Mikhail, yang meninggal dunia pada Februari lalu.
Bagaimanapun, selepas melalui detik duka berkenaan, kelibat kedua-dua mereka semakin jarang dilihat bersama sehingga menimbulkan spekulasi mengenai keretakan hubungan persahabatan yang selama ini terjalin erat.