Sekilas
- Rita Rudaini jelaskan usaha sediakan makanan tambahan untuk anaknya sepanjang peperiksaan percubaan SPM bukan kerana terlalu demand, sebaliknya sebagai ikhtiar menjaga pemakanan anak.
- Rita pesan supaya jangan terlalu memandang rezeki orang lain dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dalam hidup sendiri.
- Rita ucap terima kasih kepada kakitangan cafe MRSM yang membantu menyediakan makanan bersih, sedap dan berbaloi sepanjang tempoh peperiksaan anaknya.
Pelakon, Rita Rudaini menjelaskan usaha menyediakan makanan tambahan buat anaknya sepanjang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bukanlah disebabkan kerana dirinya terlalu memilih atau bersikap ‘demand’.
Sebaliknya kata Rita, anaknya tetap menikmati makanan yang disediakan di dewan makan (DS) seperti pelajar lain, namun dia mengambil inisiatif menyediakan makanan tambahan sepanjang tempoh peperiksaan sebagai salah satu ikhtiar seorang ibu untuk memastikan pemakanan anak terjaga.
“Saya bukan demand. Anak saya tetap mkn di DS macam pelajar lain. Yang saya sediakan cuma makanan extra sepanjang peperiksaan kerana bagi saya, menjaga pemakanan anak juga satu bentuk ikhtiar seorang ibu.
“Walau pun ada yang memerli ‘manja’ dan dengan perkataan macam-macam lagi, saya pesan anak saya, pekak kan telinga, kita hidup bukan untuk puas kan hati manusia lain,’” jelasnya menerusi hantaran di aplikasi Threads.

Tambah Rita lagi, setiap individu mempunyai perjalanan hidup serta bahagian rezeki masing-masing dan tidak semua perkara yang kelihatan indah dalam kehidupan orang lain sesuai untuk diri sendiri.
“Dan tentang rezeki… Jangan terlalu lama memandang pinggan orang sampai terlupa mensyukuri apa yang ada dalam pinggan sendiri.
“Allah tak pernah tersalah alamat bila memberi rezeki. Bahagian dia, tetap bahagian dia. Bahagian kita, takkan tertukar dengan sesiapa. Tak semua yang orang dapat, kita perlu dapat.
“Tak semua yang nampak indah pada hidup orang, sesuai untuk hidup kita. Jadi jaga hati.
“Sebab kadang-kadang yang membuat kita tak tenang bukan kerana rezeki kita kurang, tapi kerana mata terlalu sibuk menghitung rezeki orang lain. Nasihat untuk diri saya sendiri juga,” tegasnya.

Dalam pada itu, Rita juga turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan cafe yang membantu menyediakan makanan untuk anaknya sepanjang tempoh peperiksaan.
“Alhamdulillah, hari ni last day Trial SPM MRSM. Terima kasih Yanti dan staff Cafe SUBES yang jaga makan anak saya sepanjang exam.
“Bersih, sedap, harga berpatutan dan paling mahal nilainya, layan anak-anak dengan hati, macam ibu melayan anak sendiri,” tulisnya.
Rita sebelum ini sering berkongsi mengenai kehidupan serta perkembangan anak-anaknya menerusi media sosial, termasuk usaha memastikan mereka mendapat sokongan dan keperluan yang baik sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar.