Sempena sambutan Deepavali tahun ini, Astro membawakan kempen istimewa, Ondrinainthu Kondaduvom yang bermaksud 'Bersama, Kita Raikan' bagi meraikan semangat perpaduan, kebersamaan serta kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Berteraskan nilai dan tradisi perayaan Deepavali, kempen berkenaan turut mengajak masyarakat untuk mengeratkan hubungan menerusi hiburan, pengalaman bersama serta pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang musim perayaan.
Lebih istimewa, bersempena ulang tahun ke-30 Astro, pelanggan boleh menikmati sehingga 75 jam kandungan hiburan istimewa menerusi televisyen, Astro GO, On Demand dan Sooka.
Barisan kandungan tersebut merangkumi produksi tempatan, Astro Originals serta tayangan perdana filem-filem popular dari India yang sesuai dinikmati oleh seisi keluarga.
Naib Presiden Perniagaan Pelanggan India Astro, Prem Anand berkata, Deepavali merupakan perayaan bermakna yang membuka ruang untuk masyarakat berkumpul dan mengeratkan hubungan menerusi kuasa hiburan.
"Ketika Astro meraikan 30 tahun berkhidmat dan menghubungkan rakyat Malaysia, Deepavali kekal sebagai perayaan bermakna buat kami untuk menyatukan masyarakat menerusi kuasa hiburan.
"Tahun ini, kami berbangga membawakan sehingga 75 jam kandungan perayaan yang menampilkan gabungan produksi tempatan, Astro Originals eksklusif serta tayangan perdana filem popular dari India.
"Bersama Sony VIZHA, kami mahu memberikan lebih banyak peluang kepada penonton untuk menikmati kisah kegemaran mereka, meraikan minat serta mencipta kenangan bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Sony VIZHA Tawar Lebih Banyak Kandungan Tamil
Dalam usaha memperluas pilihan hiburan buat penonton berbahasa Tamil, Astro turut memperkenalkan saluran hiburan baharu, Sony VIZHA (Saluran 220).
Saluran berkenaan menawarkan pelbagai kandungan premium dari India termasuk drama, program realiti, filem dan rancangan istimewa sempena Deepavali.
Selain itu, penonton juga boleh menikmati pelbagai produksi Tamil tempatan yang bakal ditayangkan menerusi Astro, antaranya konsert Deepavali Kondattam, rancangan permainan Savalai Samaali, telefilem Adaikalam dan Maya Oviyan, program muzik Up Close and Personal with Saindhavi serta drama keluarga Kadhal Unfollow.
Tayangan Perdana Filem Popular Dari India
Tidak ketinggalan, Astro turut menyediakan barisan tayangan perdana antarabangsa dalam bahasa Tamil, Malayalam dan Telugu.
Antara filem Tamil yang bakal ditayangkan termasuk komedi sukan Gatta Kusthi 2, komedi fiksyen sains Ram and Leela, drama biografi G.D.N., filem seram romantik Immortal, filem aksi thriller Magudam serta drama romantik Idhayam Murali.
Bagi peminat filem Malayalam pula, mereka boleh menantikan filem supernatural Lokah Chapter 1: Chandra dan Sarvam Maya.
Sementara itu, penonton yang menggemari filem Telugu boleh menyaksikan filem aksi Kuberaa dan Saripodhaa Sanivaaram.
Barisan hiburan tersebut turut dilengkapkan dengan program anugerah JFW Movie Awards 2026 serta persembahan muzik Thenisai Iravu with Thenisai Thendral Deva Live in Concert.
RAAGA Bawa Semangat Deepavali Menerusi Muzik dan Aktiviti Kebajikan
Dalam pada itu, stesen radio RAAGA turut menghidupkan kemeriahan Deepavali menerusi pelbagai kandungan istimewa di platform radio dan media sosial.
Antaranya termasuk pelancaran lagu khas Deepavali berjudul DhaamDhoomDeepavali yang dicipta oleh Shameshan Mani Maran dan dinyanyikan oleh Santesh bersama Priya.
RAAGA turut memperkenalkan siri mini khas berjudul Hantu RAAGA serta inisiatif kebajikan Duit Deepavali menerusi segmen Kalakkal Kaalai bagi menyebarkan kegembiraan dan membantu golongan yang memerlukan.
Pelbagai Acara Deepavali Di Seluruh Negara
Bukan sekadar hiburan di kaca televisyen dan platform digital, Astro turut membawa kemeriahan perayaan lebih dekat kepada masyarakat menerusi beberapa acara secara langsung di lokasi terpilih.
Pengunjung berpeluang bertemu personaliti kegemaran mereka seperti Kash Villain, Seelan, Thasha, Moon Nila, Thivyah Kia dan ramai lagi.
Antara acara yang bakal berlangsung ialah Deepavali Kondattam pada 24 Oktober di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam bermula pukul 6 petang.
Selain itu, Deepavali Carnival 2026 akan berlangsung pada 30 Oktober di Car Park B, Stadium Bukit Jalil, manakala ECR Indian Shopping Carnival dijadualkan pada 31 Oktober di Kalamandapam, Brickfields.
Menerusi kempen Ondrinainthu Kondaduvom, Astro berharap dapat terus menyatukan masyarakat melalui hiburan dan pengalaman bersama, sekali gus menjadikan sambutan Deepavali lebih bermakna buat rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran Deepavali Astro, orang ramai boleh melayari content.astro.com.my.