Penyampai radio dan pengacara, DJ Sonic mencuri perhatian warganet selepas membuat perkongsian mengenai perkembangan terbaharu pelakon dan penyanyi, Fazura.
Menerusi hantaran di platform Thread, DJ Sonic atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang berkongsi foto dirinya bersama Fazura serta barisan kakitangan selebriti itu.
Advertisement
“Alhamdulillah! Bermulalah episod baru untuk Fazura!!! Yesszaaa… Nantikan ada sesuatu yang betul-betul besar berlaku lepas ini. Alhamdulillah, Allah mudahkan segala urusan kita semua,” tulisnya.
Perkongsian itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat yang tidak sabar menantikan kejutan daripada pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu.
Seorang pengguna turut meninggalkan komen bertanyakan keadaan pelakon berusia 41 tahun itu
“Kak Faz okey kan bang?," tulis seorang pengguna media sosial.
DJ Sonic kemudian membalas dengan menyatakan Fazura kini berada dalam keadaan baik dan dikelilingi orang yang menyayanginya.
“Ok. Faz happy sebab dapat insan-insan yang sayang dia. Tadi saya nangis, Faz pula pujuk saya. ‘Sonic dah! Kita ada Allah dan orang yang sayang kita kan..’,” katanya.

Terdahulu, pada malam Ahad lalu, bekas suami Fazura iaitu pelakon Fattah Amin selamat diijabkabulkan dengan penyanyi Amira Othman dalam sebuah majlis akad nikah di Golden Palm Trees, Sepang, Selangor.
Majlis itu turut dihadiri rakan selebriti antaranya Ernie Zakri, Hawa Rizwana, Anzalna Nasir (pembawa dulang hantaran) serta Nabila Razali.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Sumber: Threads