Ringkasan AI
- Ustazah Asma’ Harun menegur kumpulan Dolla kerana video muzik terbaru mereka dianggap keterlaluan dan tidak mencerminkan imej seni negara.
- Beliau berharap Dolla akan tampil dengan persembahan yang lebih sopan dan bermaruah pada masa akan datang.
- Asma’ menyatakan kekecewaan kerana salah seorang anggota Dolla adalah wanita Islam namun masih menampilkan imej yang tidak sesuai.
- Beliau mengkritik normalisasi budaya yang salah sebagai trend dan menganggap ia memalukan wanita Islam serta negara Malaysia.
- Ustazah Asma’ menyeru agar hiburan di Malaysia kembali kepada nilai kesopanan, terdidik, dan berkat.
Ustazah Asma’ Harun menegur secara terbuka kumpulan Dolla selepas menonton video muzik terbaharu mereka yang disifatkannya semakin keterlaluan dan tidak mencerminkan imej seni negara.
Menurutnya, setiap kali Dolla tampil dengan lagu baharu, harapannya akan ada perubahan ke arah lebih sopan.
"DOLLA, inikah yang kita banggakan sebagai wajah Seni Hiburan Negara kita ? Dolla - tolonglah berubah.
"Bila ada lagu baru dari kumpulan ini, saya cuba fikir, “Mungkin kali ini lebih sopan, mungkin kali ini lebih bermaruah.”
"Jujurnya saya tak pernah ikuti atau tengok, tapi ada sahaja sesiapa berikan link untuk diusahakan sesuatu.
"Makin lama makin parah, makin terbuka sana sini, makin ghairah, makin memalukan. Apa yang dipertontonkan bukan lagi satu Seni hiburan, Ia sudah sampai satu tahap pertunjukan dalam laman gelap atau club tapi secara terangan atas nama seni," tulisnya di media sosial.
Asma' juga menyatakan rasa sedih kerana salah seorang anggota Dolla merupakan wanita Islam.
"Pakaian ketat melekat, singkat terbuka melampau, gerakan mengiurkan semuanya dipakejkan sebagai satu seni lagu.
"Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya adalah wanita Islam, dan walau yang bukan islam sekalipun, anda tetap bawa imej Negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5 iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Menurut Asma’, gaya persembahan dan penampilan Dolla kini seakan tidak lagi berada dalam kategori seni hiburan yang wajar dan turut menzahirkan kebimbangan apabila budaya yang salah mula dianggap normal.
"Bagi saya videonya amat tidak bermoral, memalukan wanita Islam, memalukan negara yang namanya Malaysia, negara Islam. Lebih perit… ada orang yang mempertahankan dengan pujian dan rasa bangga.
"Inilah bahaya apabila normalisasi maksiat mula dianggap trend. Apa yang salah dianggap biasa. Apa yang haram dianggap “tak apa”. Apa yang menjolok mata dianggap “artistic”.
"Ini bukan kempen benci. Ini kempen sedarkan diri. Kalau budaya salah berhenti disokong, budaya itu akan mati. Kalau budaya itu berubah,
masyarakat pun berubah.
"Semoga Allah SWT menjaga Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan kembalikan kita kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik, berkat dan diredhai," tambahnya.