Sekilas
- J-Hope dan RM dari BTS dikecam selepas hadir dan bergambar bersama Chris Brown di konsert di Toronto, yang menimbulkan kontroversi kerana latar belakang keganasan Brown.
- RM digugurkan dari senarai 16 Male Role Models Helping to Stop Violence Against Women oleh The Pixel Project akibat kontroversi tersebut.
- Walaupun ada yang mempertahankan mereka, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh RM, J-Hope atau Big Hit Music setakat ini.
Gara-gara hadir ke konsert Chris Brown, dua anggota BTS iaitu J-Hope dan RM terpaksa berdepan kritikan daripada segelintir peminat.
Kedua-dua penyanyi itu menerima kritikan selepas J-Hope berkongsi foto dan video menghadiri konsert yang menampilkan Chris Brown bersama Usher di Rogers Stadium pada 12 Ogos lalu di Toronto, Kanada.
Tidak hanya hadir sebagai penonton, rakaman foto kebersamaan mereka telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan perminat.
Ada yang mempersoalkan keputusan kedua-dua anggota itu untuk berinteraksi secara terbuka dengan Brown, yang kerjayanya pernah dibayangi beberapa kontroversi serta kes undang-undang berkaitan keganasan.
Untuk rekod, Brown mengaku bersalah pada 2009 atas kesalahan menyerang teman wanitanya ketika itu, penyanyi Rihanna. Dia juga pernah berdepan beberapa dakwaan serta kes undang-undang lain berkaitan keganasan.
Bagaimanapun, peminat menegaskan isu tersebut bukan sekadar mengenai kehadiran RM dan J-Hope di konsert berkenaan, tetapi juga tindakan mereka bergambar bersama Brown di belakang pentas.
Mereka berpendapat, individu berprofil tinggi seperti anggota BTS mempunyai pengaruh besar dan perlu lebih peka terhadap mesej yang mungkin disampaikan melalui tindakan serta hubungan mereka dengan figura yang mempunyai sejarah kontroversi, khususnya membabitkan keganasan terhadap wanita.
Malah impak kontroversi tersebut turut membuatkan penyertaan RM dalam senarai 16 Male Role Models Helping to Stop Violence Against Women oleh sebuah organisasi bebas, The Pixel Project digantung, lapor The Korea Herald.
Pihak organisasi menyifatkan penyertaan RM sebagai tidak selari dengan usaha mereka memperjuangkan menamatkan keganasan terhadap wanita.
RM sebelum ini disenaraikan dalam senarai tersebut pada 2024 atas usaha yang dikaitkan dengan kesedarannya terhadap misogini dalaman, sokongan terhadap wanita dalam bidang seni serta pendiriannya dalam isu keganasan terhadap wanita.
Dalam kenyataan terbuka, organisasi itu menjelaskan mereka tidak pernah mengharapkan mana-mana ikon lelaki, termasuk RM, untuk menjadi manusia yang sempurna.
Namun, mereka berpendapat seseorang yang dianggap sebagai contoh kepada masyarakat juga perlu bertanggungjawab apabila tindakannya memberi kesan negatif kepada orang lain.
The Pixel Project menyifatkan tindakan RM dan J-Hope bergambar bersama Brown sebagai sesuatu yang sekurang-kurangnya, tidak cukup berhati-hati terhadap kesan lebih luas akibat mengaitkan diri secara terbuka dengan individu yang mempunyai rekod keganasan.
Organisasi tersebut bagaimanapun mengakui bahawa foto berkenaan tidak semestinya bermaksud RM dan J-Hope secara terbuka menyokong Chris Brown atau keganasan terhadap wanita.
Namun, disebabkan tahap populariti BTS yang sangat besar, mereka berpendapat kehadiran kedua-dua anggota itu secara tidak langsung memberikan lebih perhatian serta platform kepada Chris Brown di hadapan jutaan peminat dan orang awam.
Bagaimanapun, tidak semua peminat bersetuju dengan kritikan tersebut. Sebahagian peminat mempertahankan RM dan J-Hope dengan menyatakan menghadiri sesebuah konsert atau bergambar bersama artis lain tidak semestinya bermaksud mereka menyokong segala tindakan atau sejarah peribadi individu berkenaan.
Ada juga yang berpendapat kedua-dua anggota BTS mungkin hadir sekadar sebagai rakan seperjuangan dalam industri muzik.
Setakat ini, RM, J-Hope dan Big Hit Music masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung kontroversi berkenaan.