Memaknai 28 tahun karier dengan tahun tahun yang megah dan redup atas pilihan hiatus, Padi Reborn mengajarkan bahawa perayaan tidak semestinya dilaksana dengan temasya yang mega. Cukup memaknainya dengan rasa ; meski dirayakan sederhana, semua tentang sepak terajang dan harumnyakarya Padi Reborn meresap di seluruh jiwa raga.
Ini pendapat peribadi penulis yang menjadi salah seorang saksi di Konser Dua Delapan oleh Padi Reborn yang berlangsung di Tennis Indoor Senayan, 31 Januari 2026.
Pada usia 28 tahun dengan menjadi salah satu band papan atas Indonesia, mencetak untaian hit yang bersifat malar segar dan penerima pelbagai anugerah di sepanjang perjuangan mereka, lima bersaudara - Piyu, Fadly, Ari, Yoyo dan Rindra boleh sahaja memilih melaksanakan perayaan lebih dua dekad mereka dengan extravaganza.
Namun daripada memilih penganjuran sebuah temasya yang mungkin mahu mensasarkan puluhan ribu penonton, mencipta sejarah lewat gimik-gimik di luar kotak atau apa sahaja yang perlu dimegah-megahkan seperti melakukan persembahan selama 28 jam misalnya, Padi Reborn boleh melakukannya ; jika mereka mahu (tentu sahaja dengan sokongan penaja yang berderet-deret seperti konsert bersejarah Dua Delapan.)
Sebaliknya Padi Reborn memilih haluan sederhana namun meninggalkan kesan yang cukup indah kerana kualiti dan idealisme yang ditonjolkan, juga di lokasi yang tidak terlalu besar tetapi terasa intim sekali.
Di perayaan konser Dua Delapan juga Padi Reborn tidak memerlukan hal-hal aneh untuk dikenang. Cukup mereka tampil dengan kualiti pertempuran yang solid dan spektakular ; terutama pada bakat dan skil yang diperkemas dengan matang sejak memberi salam kenal lewat album Lain Dunia di tahun 1997 silam. Vokal ampuh Fadly yang sentiasa menjadi antara terbaik sepanjang zaman, ketukan padu dram Yoyo (set dram paling puas hati), petikan gitar berbisa Piyu (selamba bermain dua gitar berselang dalam satu masa) begitu juga cermatnya permainan Ari dilengkapi bass oleh Rindra - yang semuanya kedengaran ‘seketul-seketul’ tanpa susunan muzik baharu yang berlebihan menjadikan Konser Dua Delapan seperti terowong masa yang mengembara bersama perjalanan mereka sehingga kini.
Hal yang menjadi tumpuan juga bagaimana Konser Dua Delapan memperkenalkan konsep pentas yang cukup teknikal - berbentuk bulat seperti pentas laga dengan sistem hidrolik yang menyokong pecahan pentas turun dan naik lalu seluruh anggota Padi bebas bergerak 360 darjah sewaktu persembahan menyapa hangat penonton yang digelar Sobat Padi di segenap penjuru stadium. Ia sukses!
Membuka konsert dengan Prolog, sebuah lagu yang sangat langka di mainkan di atas pentas sebelum seperti selalu akan mengucapkan selamat tinggal lewat Sobat, Dua Delapan bertabur hit yang diambil dalam hampir seluruh album mereka.
Mengisi matlamat, beberapa single dari album terkini mereka dimainkan secara langsung buat pertama kali. Ego, Haru Biru dan Punah dengan ketiga-tiganya kental ciri khas Padi Reborn, ia menjadi penanda aras kelangsungan band ini belum tergoyah.
Sementelah untaian lagu seperti Mahadewi, Kasih Tak Sampai, Hitam, Semua Tak Sama, Seperti Kekasihku, Beginikah Rasanya, Harmoni, Angkuh, Sesuatu yang Indah dan Bayangkanlah yang diperdengarkan dengan permainan ampuh Padi Reborn membuat Sobat Padi larut dan tersedar bahawa begitu banyaknya tembang band ini yang meninggalkan kesan tersendiri sehingga membuat kami lalai masih banyak lagu hebat mereka tidak dipersembahkan pada malam itu.
Dan usai perayaan Dua Delapan, Padi Reborn ironi menjadi cermin sebenar perjalanan mereka selama ini. Di atas pentas malam itu tiada ego yang ditonjolkan lewat kualiti atau bunyi permainan yang bermegah-megah, tetapi Padi Reborn menikmati sebaiknya momen 28 tahun kebersamaan mereka dalam perayaan bersama Sobat Padi.
Mereka juga tidak perlu menjelaskan tentang ‘itu-ini’ di 28 tahun yang memahsyurkan Padi Reborn. Semuanya ditonjolkan menerusi persembahan tanpa batas. Berkualiti tak ada ampun.
Seperti penjelasan Fadly lewat bicara kami beberapa minggu sebelum konsert berlangsung, beliau menyifatkan perjalanan 28 tahun Padi Reborn tidak ubah seperti ‘lagu kebangsaan’ mereka, Begitu Indah - penuh dengan masalah namun telah menumbuhkan kebijaksanaan dan hikmah yang diperoleh dari masa lalu mereka sejak zaman kampus sehingga mashyur.
“Saya ditanya apa makna 28 tahu Padi Reborn, seperti lagu, Begitu Indah dengan segala masalah dan hal yang terjadi di dalamnya, kami bertumbuh.
“Pada 28 tahun ini juga pada ada egonya namun di saat masuk usia 40, kami bertanya apa lagi? (Ego). Akhirnya kita melihat seluruh perjalanan kami, Padi Reborn adalah entiti.
“Egonya hilang saat kami mendapat kebijaksanaan. Semua orang; saya, Yoyo, Piyu, Rindra dan Ari memperoleh pelajaran. Kami melewati pendewasaan ini bersama-sama,” ujar Fadly penuh sumringah.
Dirgahayu Padi Reborn. Terima kasih kerana telah mengajarkan tentang sederhana itu ‘emas’. Sampai punya rezeki membawa Dua Delapan ke Malaysia.
