Hujan lebat berterusan sejak malam Selasa mengakibatkan banjir besar melanda beberapa kawasan di Bali termasuk Jembrana dan Kota Denpasar.
Menurut media tempatan, dua penduduk Jembrana dilaporkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras.
Advertisement
Mangsa pertama, Nita Kumala, 23, yang sedang hamil dua bulan ditemukan tidak bernyawa di kawasan berair berhampiran lokasi dia dihanyutkan banjir pada Rabu.
Difahamkan, Nita menunggang motosikal bersama suaminya, Bilal Ramdhan sekitar jam 2.30 pagi waktu tempatan dari Dusun Munduk menuju Dusun Kumbading.
Namun, pasangan itu terperangkap dalam arus banjir yang melimpah ke jalan desa manakala Bilal sempat menyelamatkan diri tetapi isterinya dibawa arus deras sehingga ke kawasan tersebut.
Mangsa kedua, I Komang Oka Sudiastawa, 38, dari Desa Dangin Tukadaya pula maut selepas tergelincir ketika memantau paras air di sekitar rumahnya.
Menurut keluarganya, banjir sudah mencecah paras pinggang orang dewasa.
Selain meragut nyawa, banjir turut menjejaskan akses utama Denpasar–Gilimanuk apabila air melimpah ke atas jalan raya.
Keadaan itu menyebabkan kesesakan panjang sejak malam Selasa hingga Rabu pagi.
Di Kota Denpasar, beberapa kawasan padat penduduk termasuk Monang-Maning, Tegal Kerta dan Pasar Kumbasari turut dinaiki air.
Tentera Darat (TNI) Kodam IX/Udayana mengerahkan anggota bersama bot getah bagi memindahkan penduduk yang terperangkap
Keadaan itu menyebabkan kesesakan panjang sejak malam Selasa hingga Rabu pagi.
Di Kota Denpasar, beberapa kawasan padat penduduk termasuk Monang-Maning, Tegal Kerta dan Pasar Kumbasari turut dinaiki air.
Tentera Darat (TNI) Kodam IX/Udayana mengerahkan anggota bersama bot getah bagi memindahkan penduduk yang terperangkap.
Panglima Kodam IX/Udayana, Mejar Jeneral Piek Budyakto memaklumkan, operasi kini memberi tumpuan di kawasan Pasar Kumbasari dan Jalan Gajah Mada yang paling teruk terjejas.
Setakat tengah hari Rabu, hujan masih berterusan di beberapa kawasan Bali dengan pihak berkuasa bersama pasukan keselamatan giat melakukan pemindahan penduduk, menyalurkan bantuan kecemasan serta membantu menyelamatkan harta benda orang ramai. - Agensi
Sumber: Sinar Harian