Sekilas
- Jung Ho Yeon disenaraikan sebagai calon utama Bond Girl untuk filem James Bond generasi baharu yang dibintangi Robert Pattinson.
- Media antarabangsa seperti Vogue dan RUSSH mencadangkan Ho Yeon berdasarkan prestasi lakonannya dalam Squid Game dan filem HOPE.
- Jika terpilih, Ho Yeon akan menyusul jejak pelakon Asia terkenal seperti Michelle Yeoh dan dua pelakon Jepun yang pernah menjadi Bond Girl sebelum ini.
Selepas Robert Pattinson diumumkan rasmi memegang watak James Bond generasi baharu, pemerhati hiburan dan peminat mula mencari calon Bond Girl atau gadis Bond untuk ‘disandingkan’ bersama aktor tersebut.
Salah satu nama yang masuk senarai tertinggi sebagai calon gadis Bond adalah aktres kelahiran Korea Selatan, Jung Ho Yeon.
Nama Ho Yeon malah disenaraikan media antarabangsa yang berpotensi bergandingan dengan James Bond.
Majalah fesyen terkenal, Vogue, menyenaraikan Jung Ho-yeon antara 45 pelakon wanita yang dicadangkan untuk membawa watak Bond Girl.
Cadangan itu dibuat berdasarkan prestasi lakonannya menerusi siri popular Squid Game serta filem HOPE.
Vogue turut menyifatkan Ho-yeon sebagai pilihan bersesuaian sekiranya filem terbaharu James Bond mengetengahkan jalan cerita yang lebih menjurus kepada Asia.
Tidak ketinggalan, portal fesyen dan kebudayaan, RUSSH, turut menyenaraikan bintang berkenaan pada tarikh sama sebagai antara pilihan mereka untuk bergandingan dengan Pattinson.
Daya tarikan Ho-yeon menerusi Squid Game menjadi antara faktor utama yang mendorong media itu menyarankan namanya untuk watak berkenaan.
Sekiranya Ho-yeon terpilih, beliau bukanlah pelakon Asia pertama yang pernah muncul sebagai Bond Girl dalam sejarah francais berkenaan.
Pesohor kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terlebih dahulu mencipta sejarah apabila membawa watak ejen China, Wai Lin, menerusi filem Tomorrow Never Dies (1997) bergandingan dengan Pierce Brosnan.
Watak Wai Lin digambarkan sebagai seorang ejen yang memiliki kemahiran seni mempertahankan diri luar biasa serta keupayaan membuat keputusan secara berdikari.
Hampir tiga dekad sebelum kemunculan Michelle Yeoh, pelakon Jepun turut pernah menghiasi francais 007 menerusi filem You Only Live Twice (1967).
Dua pelakon, Akiko Wakabayashi dan Mie Hama, masing-masing membawakan watak Aki dan Kissy Suzuki dalam filem yang dibintangi Sean Connery itu.
Aki merupakan ejen perisikan Jepun yang membantu Bond menjalankan siasatan serta menyelamatkannya daripada ancaman musuh.
Sementara itu, Kissy pula menyertai misi Bond dengan menyamar sebagai isterinya bagi membolehkan mereka menyusup masuk ke pangkalan musuh.
Filem terkini paling ikonik itu bakal dipasarkan Amazon MGM dengan pengarah terkenal Denis Villeneuve bakal menjadi sutradara manakala Steven Knight dipertanggungjawabkan menulis skrip.
Filem itu turut diterbitkan oleh Amy Pascal dan David Heyman.