Skip to main content

Filem

Filem ‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengar Ku?’ Selami Perjalanan Jiwa, Pengkhiatan, Kemaafan & Kekuatan Wanita Bergelar Ibu Tunggal

Tuhan Benarkah Kau Mendengar Ku

Sekilas

  • Filem Indonesia terbaru 'Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?' kini ditayangkan di pawagam Malaysia dengan kerjasama Astro Shaw sebagai penerbit bersama dan pengedar.
  • Filem ini mengangkat tema pengkhianatan, kemaafan, dan kebangkitan melalui kisah seorang ibu tunggal yang kuat di luar tetapi hancur di dalam, serta kesan perceraian dari sudut pandang anak.
  • Menampilkan pelakon popular seperti Revalina S. Temat dan diarahkan oleh Jay Sukmo, filem ini mengajak penonton memahami kekuatan doa dan pengorbanan dalam menghadapi luka emosi keluarga.

Filem terbaru Indonesia ‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?’ kini sudah bersedia untuk membuatkan hati penonton di Malaysia tersentuh.

Sedang hangat ditayangkan di pawagam negara jiran, filem ini telah dibawakan ke layar perak di Malaysia oleh Penerbit Indonesia, Paragon Pictures, Ideosourse Entertainment dan Penerbit Bersama, Astro Shaw.

Menurut Penerbit Eksekutif ‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?’ yang juga merupakan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan Astro Shaw bertindak selaku Penerbit Bersama dan bertanggungjawab dalam menjalankan pemasaran dan pengedaran di Malaysia.

“Hubungan erat Astro Shaw dengan Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment, yang terjalin sejak tahun 2020 menerusi filem beberapa projek bersama telah membina kepercayaan dan keserasian kreatif yang sehaluan.

“Pak Robert Ronny dan pasukannya sentiasa mengalu-alukan kolaborasi dengan Astro Shaw, yang membolehkan gabungan industri filem dua negara mencapai potensi kreatif dan peluang pasaran secara optimum.

“‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?’ menyelami tema pengkhianatan, kemaafan dan kebangkitan. Berbeza dengan filem ‘curang’ yang lain.

“Naskhah ini lebih memfokuskan kepada perjalanan jiwa seorang ibu tunggal yang nampak kuat di luar, namun hancur di dalam.

“Kami harap filem ini menjadi surat cinta kepada mereka yang bergelut dengan luka kehidupan untuk terus kuat dan menjadi peringatan bahawa doa-doa yang tak terucap tetap didengar,” jelasnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Paragon Pictures, Robert Ronny berkata, filem tersebut turut menunjukkan kesan perceraian dari pelbagai perspektif termasuklah pandangan seorang anak.

“Kami ingin menampilkan sebuah filem yang bukan sekadar berkisar tentang konflik kehidupan, tetapi tentang doa-doa yang akhirnya menemukan jawapan melalui ketenangan jiwa dan keberanian untuk memaafkan.

“Selain perspektif seorang ibu, filem ini turut mengetengahkan kesan perceraian dari sudut pandang seorang anak menerusi watak Laila, lakonan Annisa Kaila.

“Laila mewakili ramai kanak-kanak daripada keluarga berpecah yang terpaksa membesar sebelum waktunya, memendam emosi di tengah konflik ibu bapa,” ujarnya.

‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?’ merupakan sebuah filem kolaborasi Indonesia–Malaysia yang turut disokong oleh Netzme, KMIF, WOW Multinet Pictures dan Virtuelines Entertainment.

Filem ini menampilkan pelakon yang popular dengan watak Bawang Putih dalam kalangan penonton Malaysia, Revalina S. Temat bersama pelakon Gunawan Sudrajat, Megan Domani, Annisa Kaila, Roy Sungkono, Risma Nilawati, Dhawiya Zaida, Daniella Sya, Alex Abbad, Sheila Kusnadi, Venly Arauna, dan Ustazah Shofwatunni.

‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?’ diarahkan Jay Sukmo yang dikenali menerusi karya-karya beremosi seperti ‘The Chocolate Chance’, ‘Jendela Seribu Sunga’i dan ‘Culture Shock’ yang pernah menduduki carta Top 1 Netflix Indonesia selama lapan minggu berturut-turut.

Manakala skrip filem ini pula ditulis oleh Utiuts dan Priska Amalia.

Filem ini menampilkan kisah yang menyentuh realiti kehidupan dengan memfokuskan kepada keupayaan untuk memaafkan dan melepaskan, khususnya daripada sudut pandang seorang wanita yang dikhianati.

Mengangkat tema kecurangan, perceraian serta luka emosi dalam institusi keluarga, penceritaan filem ini menyelami peranan doa sebagai penenang jiwa dan kekuatan utama bagi golongan wanita untuk bangkit daripada trauma.

Watak Sarah, lakonan penuh jiwa Revalina, terpaksa tinggal sebumbung bersama bekas suaminya yang baru mengalami strok bersama isteri baharu demi melindungi mereka.

Meskipun berat hati dan mendapat tentangan hebat daripada anaknya sendiri iaitu Laila, pengorbanan Sarah menguji batas kekuatan dan keikhlasan dirinya.

Saksikan ‘Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?’ yang kini di pawagam seluruh Malaysia.

Anda mungkin berminat dengan

POP MART CRYBABY Pendant

POP MART CRYBABY Pendant

Rendang Nyet Berapi Khairul Aming (Buy 5 FREE 1)

Rendang Nyet Berapi Khairul Aming (Buy 5 FREE 1)

𝗧𝗔𝗦𝗕𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 LCD Finger Counter Random Color Mini Handheld Electronic

𝗧𝗔𝗦𝗕𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 LCD Finger Counter Random Color Mini Handheld Electronic

Medicube Toner Pad Set

Medicube Toner Pad Set

Ajwa Vip Almadinah Kurma Jumbo Dates

Ajwa Vip Almadinah Kurma Jumbo Dates

Must-Watch Video

Advertisement