Industri perfileman tempatan terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan kutipan box office tertinggi sepanjang zaman pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Azmir Saifuddin Mutalib berkata, kejayaan tersebut membuktikan perkembangan yang memberangsangkan dalam kalangan penggiat industri termasuk syarikat produksi dan artis tempatan.
Menurutnya, kutipan box office bagi filem tempatan pada tahun lalu berjaya mencapai angka RM240 juta, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi setakat ini.
“I think we achieved a good success in terms of industri, syarikat, dan artis. Kutipan box office tahun lepas adalah yang tertinggi sepanjang zaman iaitu RM240 juta untuk filem tempatan. Kita juga dapat hasilkan pelaburan sebanyak RM1 bilion untuk tempoh tiga tahun akan datang,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Azmir turut menjelaskan bahawa Malaysia juga mencatat perkembangan membanggakan dalam sektor filem animasi.
Menurutnya, Malaysia kini dilihat sebagai antara peneraju animasi di rantau Asia Tenggara.
“Dari segi filem animasi, kita juga melakar kejayaan. Malaysia sebenarnya adalah salah satu peneraju (leader) di Asia Tenggara. Kalau dibandingkan dengan negara ASEAN lain, kita dah terbitkan hampir 28 filem animasi dalam masa 20 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi FINAS Hans Isaac memaklumkan bahawa agensi itu dijadualkan berpindah ke ibu pejabat baharu yang terletak di Damansara Damai, Petaling Jaya pada bulan Mei ini.
Menurut Hans, ibu pejabat baharu itu akan lebih tertumpu kepada operasi korporat serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk studio dan panggung wayang.
"HQ kita di Finas Damansara lebih kepada urusan korporat. Di sana ada studio juga, jadi kita mempunyai dua studio, satu di sana dan satu lagi di Hulu Klang. Pawagam pula akan ada dua, satu di Hulu Kelang dan satu lagi di HQ kami yang mempunyai kapasiti kira-kira 300 hingga 400 tempat duduk,” katanya.
Bagaimanapun, Hans menjelaskan bahawa segala urusan teknikal serta acara berkaitan industri akan terus dijalankan di kompleks FINAS Hulu Kelang.
Menurutnya, kompleks tersebut akan terus diperkasa sebagai hab kreatif yang menghimpunkan pemain industri untuk berkongsi idea dan menghasilkan karya berkualiti.
"Daripada segi teknikal dan acara industri, semuanya di Hulu Kelang. Jika boleh, kita mahu tubuhkan akademi atau sekolah filem di sana juga.
"Kalau ada filem, penggiat industri boleh datang ke Finas, berjumpa rakan-rakan dan berbincang mengenai projek mereka sambil menggunakan semua kemudahan kreatif yang ada seperti studio teknikal dan panggung wayang," kongsi Hans Issac.
Selain itu, FINAS turut merancang untuk menyediakan ruang kerja bersama (co-working space) bagi memudahkan penggiat industri menjalankan projek mereka.
Tambah Hans, inisiatif tersebut diharap dapat membantu syarikat produksi kecil dan sederhana terus berkembang sekali gus memperkukuhkan lagi industri perfileman tempatan.
"Kami berharap dapat menambah baik segala fasiliti di sana. Dalam bidang kreatif, idea tidak datang hanya melalui mesyuarat. Kadang-kadang ia muncul apabila kita berbual dan berkongsi pandangan dengan rakan.
"Kita mahu menyediakan ruang kerja bersama (co-working space). Jika sesebuah produksi tidak mempunyai pejabat fizikal, tetapi mempunyai pendaftaran syarikat yang sah, mereka boleh datang ke Finas dan menggunakan ruang yang disediakan untuk projek mereka," tambahnya.