Skip to main content

Hiburan

Fizi Ali Mohon Maaf Jika Ada Khilaf, Harap Isu Dengan Bekas Isteri Selesai Secara Privasi - “Benda Macam Ini Boleh Saja Mesej Terus”

grddfgd

Sekilas

  • Penyampai radio Fizi Ali terkejut isu salah faham dengan bekas isteri, Shakilla Khoriri, timbul ketika dia sedang mengerjakan umrah.
  • Fizi memohon maaf jika ada pihak terasa hati dan berharap isu itu diselesaikan secara baik tanpa campur tangan orang luar.
  • Mereka dikurniakan seorang anak, Ameena, yang sering teringatkan ibunya sepanjang umrah, dan Fizi mengesahkan hubungan mereka kini sudah selesai dengan baik.

Penyampai radio, Fizi Ali, tidak menyangka apabila isu salah faham dengan bekas isterinya, aktres Shakilla Khoriri, kecoh ketika dia sedang mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

Fizi, atau nama penuhnya Mohd Hafizudin Alimudin, 36, menjelaskan bahawa sebelum insiden tersebut, komunikasi antara mereka berdua tidak pernah menimbulkan masalah.

“Saya sendiri terkejut bila jadi macam ini di Tanah Suci.

“Sebelum ini kami sentiasa berhubung. Kalau nak call atau mesej, dia akan tanya dulu Ameena. Tak pernah ada masalah,” katanya.

Fizi berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) di Menara Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Mengulas lanjut, Fizi berkata dia sendiri tidak pasti apakah punca sebenar salah faham tersebut namun tetap memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung.

“Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku. Tapi tak tahu apa yang membuatkan dia jadi macam itu. Mungkin ada khilaf daripada saya.

“Jadi saya minta maaf pada mereka yang mungkin terasa hati atau rasa saya tidak bertanggungjawab. Dengan sepuluh jari saya minta maaf atas apa yang berlaku,” ujarnya.

Berkongsi mengenai keadaan anak mereka, Ameena, Fizi berkata kanak-kanak berusia enam tahun itu ada sahaja mengingati ibunya semasa di sana.

“Ameena ada saja ingat nak beli barang untuk mak dia.

“Tapi tak adalah sampai nak paksa hubungi sebab kami tengah umrah,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fizi berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan dan dapat diselesaikan secara baik tanpa campur tangan orang luar.

“Benda macam ini boleh saja mesej terus. Bila jadi besar, jadi tak syok.

“Saya tak pasti ada orang lain cucuk atau tidak, tapi lebih baik selesaikan secara privasi.

“Bila saya hantar anak semula pada dia, tiada masalah apa-apa pun. Sudah selesai,” jelasnya.

Sebelum ini, Shakilla Khoriri mendakwa sudah sembilan hari tidak mendengar khabar anak mereka, Ameena, yang mengikut Fizi mengerjakan ibadah umrah.

Untuk rekod, Fizi dan Shakilla mengumumkan perceraian mereka pada Disember 2021 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena. Fizi kemudian kembali mendirikan rumah tangga dengan Zulaikha pada 23 Oktober 2023.

Must-Watch Video

Advertisement