Pengasas bersama dan pemain gitar KISS, Ace Frehley meninggal dunia pada usia 74 tahun selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di, Morristown beberapa minggu lalu.
Pengumuman kematian Frehley yang sukses menjalani karier solo selepas keluar daripada KISS disampaikan oleh keluarganya.
Advertisement
“Kami dengan sangat berduka cita dan patah hati menyampaikan berita kematian orang yang paling kami sayang. Kami menikmati semua momen baik bersamanya dan beliau seorang insan yang cukup baik. Memori serta sumbangan beliau akan terus hidup,” tulis kenyataan tersebut seperti dilaporkan People.
TMZ sebelumnya melaporkan Frehley menggunakan alat sokongan hidup kerana mengalami pendarahan otak akibat terjatuh di rumahnya.
Rocker itu juga menyampaikan berita insiden tersebut kepada peminatnya menerusi kenyataan yang diberi di Instagram pada 25 September lalu.
Pemilik hit New York Groove itu memberitahu terpaksa membatalkan persembahannya yang telah dijadualkan di Lancaster, California kerana mengalami masalah kesihatan dan berada dalam keadaan baik. Namun dia dinasihatkan untuk tidak melakukan perjalanan jauh atau meneruskan persembahan.
“Frehley sangat ingin meneruskan konsert jelajahnya dan mahu menyiapkan album terkini, Origins Vol. 4,” tulis kenyataan itu.
Bintang itu kemudian membatalkan semua persembahannya pada 6 Oktober atas masalah kesihatan yang berpanjangan.
Lahir di Bronx, New York, Frehley merupakan pengasas bersama band yang terkenal dengan solekan pada muka mereka iaitu KISS pada tahun 1973. Dia meninggalkan band tersebut pada tahun 1982.
Frehley bagaimanapun kembali reunion bersama anggota KISS yang lain iaitu Gene Simmons dan Paul Stanley pada 1996 dan dilihat kali terakhir bermain bersama mereka pada 2018.